Hee Loy Sian

SHAH ALAM – Kerajaan Selangor menerusi menerusi agensi negeri, Lembaga Urus Air Selangor (LUAS) akan mengaktifkan siasatan ke beberapa lokasi bagi mengenal pasti punca pencemaran di Sungai Buah, Dengkil, semalam.

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Alam Sekitar & Teknologi Hijau dan Hal Ehwal Orang Asli, Hee Loy Sian berkata, siasatan termasuk di aliran air berhampiran sebuah kilang berdekatan Sungai Rinching, kira-kira 16 kilometer dari muka sauk Jenderam Hilir.

Kata beliau, pensampelan ujian bau telah dilakukan di kawasan berkenaan dan mengesan bau seakan pelarut di aliran pertemuan ke Sungai Rinching.

Pada masa sama, katanya, LUAS juga telah melakukan pensampelan di kawasan muka sauk Jenderam Hilir bagi tujuan analisa Jabatan Kimia Malaysia.

“Berikutan itu, LUAS mengambil inisiatif dengan meletakkan 14 beg serbuk karbon teraktif, selain memantau dari semasa ke semasa bersama agensi berkaitan.

“Pemantauan statik dan pensampelan di Jambatan Ladang Bukit Unggul dan Jambatan Kampung Rinching Hilir turut dilakukan setiap satu jam,” katanya sebagaimana dilaporkan SelangorKini, hari ini.

Menurut Loy Sian, pemantauan kualiti udara oleh Jabatan Alam Sekitar (JAS) telah mengesan beberapa parameter sebatian organik meruap (VOC) seakan analisa Pengurusan Air Selangor pada 31 Ogos lalu.

Susulan itu, ujar beliau, JAS telah mengeluarkan notis Penahanan Operasi Kelengkapan kepada premis disyaki bawah Seksyen 38 (1) (a) Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 untuk siasatan lanjut selama dua minggu.

Selain itu, katanya, LUAS bersama Air Selangor telah melepaskan air Empangan Semenyih sebanyak 227 juta liter sehari (JLH) dalam usaha meningkatkan faktor pencairan dan pembersihan sungai.

Mengikut Seksyen 79(1) (a) Enakmen LUAS (Pindaan) 2020, pencemar air boleh berdepan hukuman penjara tidak lebih tiga tahun dan denda tidak kurang RM200,000 atau lebih RM 1 juta jika sabit kesalahan. – MalaysiaGazette