Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak diiringi pegawai penjara ketika hadir ke mahkamah bagi sambung perbicaraan kes pengubahan wang haram membabitkan dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB) di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur. Foto MUHD NA’IM, 20 SEPTEMBER 2023.

KUALA LUMPUR – Saksi pendakwaan ke-47 perbicaraan 1Malaysia Developement Berhad (1MDB) memberitahu Mahkamah Tinggi di sini yang Tanore Finance Corporation pernah membuat pemindahan AS$681 juta atau bersamaan dengan RM2,081 bilion ke akaun peribadi Ambank milik Datuk Seri Najib Razak.

Untuk makluman, Tanore Finance adalah syarikat yang dikaitkan dengan ahli perniagaan dalam buruan, Low Taek Jho atau Jho Low.

Menurut saksi terbabit yang merupakan seorang penganalisis Bank Negara Malaysia (BNM), Adam Ariff Mohd Roslan, dana itu merupakan bon 1MDB yang jumlahnya sekitar AS$3 bilion.

Katanya, RM3 bilion itu sepatutnya dilabur dalam usaha sama 1MDB dan Aabar Investment PJS.

“Tanore Finance juga telah menerima AS$640 juta iaitu 21 Mac 2013 yang kemudian mengarahkan Falcon Bank pindah  AS$681 juta ke akaun AmPrivate Banking–MR’ di AmIslamic Bank. Pada hari sama wang berjumlah AS$620 juta dipindahkan serta-merta.

“AmIslamic telah terima arahan daripada Tanore Finance untuk memindahkan AS$620 juta untuk dikreditkan kepada akaun AmPrivate Banking – MR.

“Sebanyak RM1.89 bilion telah dikredit ke dalam akaun tersebut,” katanya di hadapan Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Collin Lawrence Sequerah hari ini.

Adam juga mendedahkan bagaimana dana itu dimasukkan dengan bon ke dalam anak syarikat 1MDB (1MDB Global Investment Limited (1GIL).

“Ia kemudian dipindahkan melalui syarikat pelaburan, Devonshire Capital Growth Fund dan Granton Property Holding Ltd kepada Tanore. Akhir sekali, sebanyak AS$620 juta daripada Tanore diamasukkan ke akaun AmPrivate Banking- MR.

“Semua ini dilakukan tempoh satu hari sahaja,” ujarnya.

Adam sedang memberikan keterangan terhadap pertuduhan dihadapi Najib berkaitan penyewelengan dana 1MDB sebanyak RM2.3 bilion di Mahkamah Tinggi di sini hari ini.

Ketika ini, Najib yang juga bekas Perdana Menteri itu sedang berdepan perbicaraan melibatkan 25 pertuduhan salah guna kuasa dan pengubahan wang berkait dana 1MDB berjumlah RM2.28 bilion yang didepositkan dalam akaun AmBank miliknya, antara Februari 2011 dan Disember 2014. -MalaysiaGazette