Ahli keluarga bayi dua bulan, Nurul Ain Umairah Muhammad Firdaus yang maut dipercayai didera, membawa jenazahnya untuk dikebumikan di tanah perkuburan Islam Kampung Tok Panjang, Bukit Mertajam, Pulau Pinang selepas solat Asar petang ini.

PULAU PINANG – Selepas beberapa hari tertangguh, bedah siasat ke atas mayat bayi perempuan berusia dua bulan yang disyaki didera di Hospital Seberang Jaya (HSJ) di sini akhirnya berjaya diselesaikan petang ini.

Bedah siasat yang mengambil masa lebih lima jam itu dijalankan pakar odontologi hospital berkenaan bagi mengenal pasti kesan gigitan yang terdapat pada bahagian pipi dan badan mangsa untuk melengkapkan proses siasatan kes tersebut.

Dengan selesainya proses bedah siasat itu juga, mayat Nurul Ain Umairah Muhammad Firdaus dituntut keluarga mangsa petang ini dan dikebumikan di tanah perkuburan Islam Kampung Tok Panjang, Bukit Mertajam selepas solat Asar hari ini.

Dalam pada itu, Ketua Polis Daerah Seberang Prai Tengah (SPT), Asisten Komisioner Nik Ros Azhan Nik Ab. Hamid berkata, pemeriksaan yang dijalankan ke atas mayat bayi yang merupakan anak bongsu daripada dua beradik itu kini telah selesai sepenuhnya.

Bagaimanapun, kata beliau, pihak polis masih menunggu untuk mendapatkan laporan penuh daripada pakar perubatan yang menjalankan proses bedah siasat yang dijangka dalam masa terdekat.

“Sebaik sahaja kita mendapat laporan penuh hasil bedah siasat itu, kita akan rujuk kertas siasatan kes ini kepada pejabat Pendakwa Raya negeri sebelum diserahkan ke pejabat Pendakwa Raya di Putrajaya,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Tambah beliau, seramai 15 saksi termasuk anggota keluarga, jiran dan doktor yang menjalankan bedah siasat telah direkodkan keterangan bagi membantu siasatan kes berkenaan.

Dalam kejadian Khamis lalu, Nurul Ain Umairah dilaporkan meninggal dunia ketika dibawa ibu bapanya ke sebuah klinik di Bukit Mertajam selepas mendakwa bayi berkenaan berada dalam keadaan lemah dan enggan meminum susu.

Allahyarhamah Nurul Ain Umairah Muhammad Firdaus.

Bagaimanapun, pemeriksaan lanjut mendapati terdapat pelbagai kesan kecederaan pada luaran dan dalaman bayi berkenaan disyaki kerana didera.

Sehubungan itu, polis menahan reman ibu bapa mangsa masing-masing berusia 22 dan 26 tahun selama tujuh hari bermula Sabtu lalu untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001.- MalaysiaGazette

Ibu bapa bayi mati disyaki didera direman

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube : MalaysiaGazette TV
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast