KUALA LUMPUR – Jawatankuasa khas akan bermesyuarat petang ini bagi membincangkan berkenaan langkah Amerika Syarikat (AS) mengenakan tarif timbal balik sebanyak 24 peratus ke atas Malaysia, kata Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Menurut Perdana Menteri, mesyuarat yang dipengerusikan beliau itu akan disertai Jemaah Menteri termasuk Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI), Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz dan Gabenor Bank Negara (BNM); Datuk Seri Abdul Rasheed Ghaffour.
Tambah beliau, mesyuarat sama akan disertai Pengerusi Jawatankuasa Penasihat Dasar kepada Perdana Menteri, Tan Sri Mohd Hassan Marican dan beberapa pihak berkepentingan lain sebelum kenyataan rasmi berhubung hasil mesyuarat tersebut dikeluarkan petang ini.
Mengulas lanjut, Anwar mengakui Malaysia akan merasai kesan daripada tarif baharu AS itu yang tinggi walaupun lebih rendah berbanding negara-negara jiran lain.
Sehubungan itu, jelasnya, beliau telah menghubungi pemimpin-pemimpin negara jiran iaitu Thailand; Indonesia; Filipina dan Singapura hari ini bagi membincangkan mengenai perkara tersebut.
“Ini supaya ada satu kesepakatan tentang bagaimana kita menjawab (kepada langkah AS) dan menuntut supaya ada prinsip keadilan dalam keputusan dagangan antara negara-negara luar termasuk ASEAN dengan AS,” katanya.
Anwar ditemui pemberita selepas menunaikan solat Jumaat di Masjid Prima Saujana, Kajang bersama-sama lebih 50,000 penduduk setempat, di sini, hari ini.
Beliau mengulas mengenai pengumuman Presiden AS, Donald Trump sempena “Liberation Day” semalam yang mengenakan tarif baharu yang mana Malaysia tidak terkecuali apabila dikenakan tarif sebanyak 24 peratus ke atas eksport ke AS.
Ia merupakan kadar yang jauh lebih tinggi berbanding tarif asas 10 peratus yang dikenakan ke atas kebanyakan negara lain.
Sementara itu, Anwar berkata, Tengku Zafrul juga telah menghubungi rakan sejawatnya dan akan mengadakan sidang antara menteri-menteri perdagangan ASEAN, Khamis ini bagi membincangkan isu sama yang turut akan dijadikan rujukan kepada negara.
Sementara itu, ditanya berkenaan desakan beberapa pihak supaya kerajaan mengenakan tarif balas sebagai tindak balas terhadap AS, Anwar berkata, perkara tersebut antara yang akan dibincang dan diteliti dalam mesyuarat petang ini.
Bagaimanapun jelas beliau, apa yang lebih mustahak ketika ini adalah menjaga kepentingan ekonomi negara terutama dalam sektor semikonduktor yang banyak di eksport ke AS.
“Sekitar 60 hingga 65 peratus eksport semikonduktor kita adalah ke AS dan sekitar 26 peratus daripada keperluan semikonduktor AS itu adalah dari Malaysia.
“Jadi kita harus teliti semua aspek ini dan insya-Allah kita akan umum petang nanti,” katanya. – MalaysiaGazette
















