SUBANG JAYA – Lembaga Perumahan Hartanah Selangor (LPHS) menawarkan lebih 100 buah rumah untuk penempatan sementara kepada mangsa-mangsa insiden letupan di Putra Heights.
Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, rumah berkenaan yang ditawarkan melalui skim ‘smart sewa’ dan perkhidmatan Airbnb, boleh mula dimasuki dalam tempoh kira-kira seminggu.
“Kami akan maklumkan perkembangan selepas saya memuktamadkan perjanjian mengenainya.
“Rumah sementara itu dapat membantu mengurangkan tekanan penghuni yang berhimpit-himpit di pusat penempatan sementara (PPS),” ujar beliau selepas melawat mangsa insiden letupan di Masjid Putra Heights, di sini.
Mengulas lanjut, Amirudin berkata, kerajaan negeri akan membantu membayar sebahagian sewa menggunakan wang sumbangan awam yang akan diatur dengan kerajaan persekutuan.
“Sumbangan melibatkan tiga peringkat termasuk sumbangan segera,” ujar beliau.
Katanya, penempatan itu akan dilakukan secara berperingkat-peringkat berdasarkan data yang diperolehi manakala lokasinya akan ditentukan kemudian.
Ujarnya, kerajaan negeri akan meneliti kawasan berdekatan yang ditawarkan kerana tidak semua boleh dijanjikan di sini.
“Setakat ini LPHS menawarkan kediaman di Kota Warisan, Sepang, tidak jauh. Saya faham ada yang bersekolah di sini, tapi ini untuk sementara,” ujar beliau. – MalaysiaGazette















