KUALA LUMPUR – Barisan Nasional (BN) Bahagian Tanjong Malim tidak bersetuju dengan tindakan pihak tertentu yang berhimpun di Putrajaya membantah keputusan pucuk pimpinan tidak mencalonkan Datuk Seri Ong Ka Chuan sebagai calon Parlimen Tanjong Malim.
Tindakan itu amat serius dan bertentangan dengan amalan BN yang menghormati setiap keputusan yang telah dibuat oleh pucuk pimpinan parti, khususnya dalam soal pemilihan calon, kata Pengerusi BN di parlimen itu, Datuk Mohd. Khusairi Abdul Talib.
“Saya menasihatkan Ka Chuan supaya segera meredakan perasaan pengikutnya dan memberikan contoh yang baik demi perpaduan rakyat di Tanjong Malim,” ujarnya yang juga Ketua UMNO Bahagian Tanjong Malim.
Selaku Setiausaha Agung MCA, Mohd. Khusairi mahu Ka Chuan menghormati keputusan presiden partinya sendiri yang mencadangkan nama Pengerusi MCA Perak, Datuk Mah Hang Soon untuk bertanding di Parlimen Tanjong Malim.
Menurutnya, ketika Ka Chuan dicalonkan di kerusi ini dalam PRU-12 pada tahun 2008, jentera BN di Tanjong Malim tidak mengenali siapakah beliau yang datang secara tiba-tiba selaku calon tetapi mengambil sikap untuk mengutamakan parti dan mengikut keputusan yang telah dibuat oleh pucuk pimpinan.
“Ka Chuan perlu ingat bahawa dirinya juga bukanlah orang tempatan Tanjong Malim tetapi telah diterima baik dan telah memenangkannya sebagai calon di kawasan ini yang majoriti terdiri daripada pengundi Melayu,” katanya lagi.
Malah dalam PRU-13 lalu, katanya, Ka Chuan satu-satunya calon MCA yang mencapai kemenangan di kerusi Parlimen Perak kerana keutamaan pengundi di kawasan itu bukanlah terhadap individu tetapi lebih kepada memastikan BN terus dapat memerintah negara.
“Saya ingin memberitahu kepada Ka Chuan bahawa majoriti besar pengundi di Tanjong Malim menghormati keputusan pucuk pimpinan BN menamakan calon bagi kerusi-kerusi di kawasan ini.
“Membantah keputusan pucuk pimpinan bukanlah budaya politik BN Tanjong Malim sebelum ini,” tegasnya.
Lebih memburukkan keadaan, menurut khusairi, sebilangan yang menyertai perhimpunan hari ini memaklumkan mereka tidak diberitahu dengan jelas tujuan mereka dibawa ke Putrajaya.
Sebilangan besar daripada mereka terutamanya masyarakat Orang Asli berasa tertipu.
“Malah ada yang menyertai perhimpunan itu tidak menjadi ahli kepada mana-mana parti komponen BN, dan bukan pengundi di kawasan Parlimen Tanjong Malim,” katanya yang mahu
semua ahli parti komponen BN adalah terikat dengan peraturan dan disiplin parti.
“Saya menyeru kepada ahli-ahli parti BN Bahagian Tanjong Malim supaya terus menghormati keputusan pucuk pimpinan parti dan terus bekerja keras bagi memastikan calon-calon BN memenangi kerusi-kerusi yang dipertandingkan, dengan mengekalkan kemenangan di Parlimen, DUN Slim, DUN Behrang dan merampas kembali DUN Sungkai,” katanya.- MalaysiaGazette
Pengundi desak Ong Ka Chuan dicalon semula