Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenan menurunkan tandatangan sebagai gimik perasmian sambil diiringi Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Noraini Ahmad (kiri) pada Majlis Perasmian Hospital Al-Sultan Abdullah di UITM Puncak Alam, Selangor. Foto MUHD NA'IM, 23 JULAI 2022.

KUALA SELANGOR – Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menitahkan pengurusan Hospital Al-Sultan Abdullah, Universiti Teknologi MARA (UiTM) menghasilkan kaedah perubatan sendiri termasuk vaksin.

Baginda bertitah, langkah itu mampu menaikkan nama negara dengan penghasilan ubat-ubatan salam menghadapi ancaman kesihatan pada masa akan datang.

“Beta ingin mencabar pihak pengurusan (hospital) supaya menghasilkan perubatan tersendiri atau vaksin tersendiri untuk kita menghadapi cabaran-cabaran akan datang.

“Bukan hanya sekadar kalau kita hanya kenal berorientasikan perkhidmatan dengan apa yang kita ada sekarang.

“Lebih baik kita menghasilkan perubatan-perubatan yang boleh menaikkan nama kita dan memberi manfaat kepada rakyat setempat,” titah baginda di Bandar Puncak Alam, di sini, hari ini.

Terdahulu Baginda bersama Permaisuri Agong, Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandaridah Sultan Iskandar berkenan mencemar duli untuk merasmikan Hospital Al-Sultan Abdullah UiTM.

Turut mencemar duli, Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah dan Tengku Permaisuri Norashikin.

Hadir sama, Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Dr Noraini Ahmad; Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz dan Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari.

Baginda juga berharap Hospital Al-Sultan Abdullah menjadi antara pusat perubatan yang terbaik di negara ini.

“Beta berharap dengan nama beta di sini, perjalanan hospital ini menjadi antara hospital yang terbaik di Selangor khususnya, dan Malaysia amnya,” titah Baginda lagi. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette 2
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast