Muhammad Asyraf Samad, 29

KUALA LUMPUR – Usia bukanlah penghalang yang menentukan kemampuan seseorang untuk berjaya.

Siapa sangka, dengan hasil titik peluh sendiri, Muhammad Asyraf Samad, 29, kini mampu meraih sebanyak RM400, 000 sebulan hasil perniagaannya.

Antara perniagaannya ialah produk penjagaan kulit, produk kesihatan dalaman lelaki dan pakaian iaitu baju Melayu.

Muhammad Asyraf Samad (duduk) mampu meraih RM400, 000 sebulan hasil perniagaannya.

“Tahun ini merupakan tahun kesembilan saya menceburi bidang ini,” katanya.

Menurut Asyraf, banyak baju Melayu yang tidak menepati citarasa membuatkannya mahu mengusahakan perniagaan baju Melayu pasang siap terutama potongan slim fit di bawah jenamanya sendiri, asyrafislamcollection.

“Sebelum baju Melayu, saya keluarkan baju kurta. Saya promosi pakaian saya melalui media sosial dan syukur, saya terima sambutan yang sangat menggalakkan daripada orang ramai,” katanya ketika dihubungi semalam.

Mengusahakan perniagaan itu sejak tahun 2018, Muhammad Asyraf berkata, antara cabaran yang dihadapi adalah pelanggan merungut tentang penggunaan material kain pada baju Melayu.

“Setiap benda ada pasang surut dan cabaran, macam dulu pernah ada pelanggan merungut tentang kain baju Melayu. Mereka mahukan material ‘kayangan’ tapi harga marhain.

“Suka saya maklumkan, baju Melayu saya adalah mampu milik dan boleh dikatakan murah. Bukan itu sahaja, setiap pembelian baju, saya beri samping secara percuma,” jelasnya.

Tambah beliau, perniagaan baju Melayu hanya dijalankan setiap musim perayaan sahaja dan tahun ini ia melibatkan 2, 000 helai.

“Setakat ini, penjualan baju Melayu dah mencapai 85 peratus. Baju asyrafislamcollection ini sudah pun berada di pasaran luar negara seperti Singapora.

“Saya amat bersyukur, baju ini mendapat permintaan ramai dan apa yang saya tak sangka, orang luar negara seperti Indonesia dan Filipina juga menginginkan baju Melayu ini memasuki pasaran mereka,” katanya.

Beliau berharap agar perniagaannya terus berkembang dan maju serta dapat memasuki pasaran luar negara. – MalaysiaGazette