Mangsa-mangsa pemerdagangan manusia dalam kalangan rakyat tempatan semakin berleluasa.

KUALA LUMPUR – Hampir setiap minggu kes berkaitan pemerdagangan manusia terus menjadi tajuk berita utama dengan kehadiran keluarga mangsa tampil memohon bantuan daripada pihak berkuasa.

Malah kebanyakan mangsa sebenarnya dalam kalangan B40 yang sanggup ke luar negara untuk mencari rezeki mengunakan sindiket  yang mengumpan mereka bekerja bergajikan dolar Amerika Syarikat.

Setiausaha Agung Pertubuhan Kemanusiaan Masyarakat Antarabangsa Malaysia (MHO), Datuk Hishamuddin Hashim berkata, pihaknya sendiri turun membantu dalam kerja menyelamat mangsa hampir setiap minggu terutamanya di Myawaddy, sempadan Thailand-Myanmar.

Menurutnya, keluarga atau kenalan rapat mangsa akan menghubungi MHO untuk bantuan menyelamatkan mangsa dengan menggunakan pihak berkuasa di negara terbabit.

“Macam semalam, kita ada buat sidang media tentang dua rakyat Malaysia yang berusia 30 tahun dan lelaki berusia 37 tahun terbabit dipercayai terpedaya dengan tawaran kerja di Bangkok, Thailand sebelum mereka diseludup masuk ke kawasan berkenaan serta dikurung.

“Kedua-dua mangsa ini dalam keadaan bahaya kerana waris mangsa mendedahkan sindiket mahu wang tebusan sekitar hampir RM100,000 atau AS$20,000 jika mahu mangsa dilepaskan. Mungkin mangsa akan dicederakan andai tebusan tidak dibayar.

“Seorang lagi keluarga menerima panggilan telefon, lelaki tempatan ditipu sindiket pemerdagangan manusia selepas melihat iklan tawaran kerja dengan gaji lumayan di Facebook. Pada 14 April lepas mangsa telah menaiki penerbangan ke Bangkok sebelum diseludup masuk. Kini juga ingin selamat, bayar sekitar RM60,000,” katanya.

Kata Hishamuddin lagi, keluarga mangsa sudah membuat laporan polis sebelum membuat aduan ke MHO.

“Mereka bimbang dengan keselamatan mangsa-mangsa ini. Ada juga kes-kes sebelum ini mereka dicederakan, ‘hilang begitu sahaja’ tanpa khabar berita malah ada juga mangsa sudah bertahun terperangkap.

“Kita sudah minta wakil MHO di Myanmar untuk mengesan dua rakyat Malaysia terbabit dan akan berusaha menyelamatkan mereka.

“Hari ini kita ada dua lagi mangsa akan pulang melalui KLIA 1 petang ini, mereka mendapat bantuan MHO selain daripada bantuan pihak berkuasa di negara terbabit,” ujarnya.

Dalam pada itu, beliau berharap untuk kes-kes ini dapat ditangani dengan lebih drastik termasuklah kerjasama agensi kerajaan bagi memastikan ianya mendapat noktah.

“Ramai yang menjadi mangsa ini tidak bersalah, bukan terlibat dengan kerja-kerja melanggar undang-undang sebaliknya hanya untuk mencari rezeki sesuap nasi untuk keluarga mereka namun akhirnya menjadi mangsa sindiket tidak berperikemanusian.

“Kita perlu cari jalan selesaikan perkara ini,” tegasnya. -MalaysiaGazette