Armizan Mohd Ali.

KUALA LUMPUR – Malaysia terus memperkasa keberadaannya di peringkat antarabangsa untuk merealisasikan aplikasi harta intelek dengan industri baharu sebagai menyahut cabaran Revolusi Industri 4.0.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Armizan Mohd Ali berkata, menerusi agensinya, Perbadanan Harta Intelek Malaysia (MyIPO) telah dipilih oleh World Intellectual Property Organization (WIPO) sebagai salah satu negara di Asia
Tenggara untuk mempelopori projek Agriculture 4.0.

Projek tersebut merupakan usahaa dalam meningkatkan pengetahuan, kepakaran serta penggunaan kecerdasan buatan (AI) dalam sektor pertanian.

“Kini pihak MyIPO dalam proses penelitian syarikat-syarikat yang disenarai pendek oleh WIPO untuk terlibat dalam projek ini.

“Malaysia juga merupakan satu-satunya negara di Asia yang diberi mandat untuk menjayakan projek Empowering Youth (K-12) to Innovate for a Better Future yang membawa misi memperkasa pendidikan Sains, Teknologi, Kejuruteraan
dan Matematik (STEM) dalam kalangan pelajar sekolah bersama-sama tiga negara dari benua Amerika Selatan, Afrika dan Eropah.

“Projek ini juga dilihat sebagai satu platform kepada generasi muda mendepani isu-isu negara dan global melalui harta intelek sebagai instrumen penggalak inovasi,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Anugerah Harta Intelek Negara 2024 sempena sambutan Hari Harta Intelek Negara (HHIN) di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Armizan berkata, bagi meningkatkan kapasiti usahawan tempatan, Malaysia turut terpilih dalam projek IP Management Clinic Program (IPMC) fasa pertama yang memberi fokus kepada syarikat perusahan kecil dan sederhana serta pemula (startups) untuk melebar sayap ke pasaran antarabangsa dengan mengaplikasi harta intelek dalam aktiviti pengkomersialan.

Menurut beliau, pelaksanaan klinik itu akan dianjurkan di dua lokasi strategik iaitu Kuala Lumpur yang melibatkan 40 usahawan manakala 20 usahawan di Kota Kinabalu. – MalaysiaGazette