referendum
Badrul Hisham Shaharin

KUALA LUMPUR – Polis mengesahkan penahanan Ahli Jawatankuasa Penerangan Parti Peribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Chegu Bard atau nama sebenarnya Badrul Hisham Shaharin berhubung hantaran yang mengaitkan Perdana Menteri dengan isu pembinaan kasino di Forest City serta melibatkan Yang di-Pertuan Agong.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk Seri Mohd Shuhaily Mohd Zain yang mengesahkan perkara itu berkata, Chegu Bard yang ditahan semalam direman selama dua hari diperolehi daripada Majistret Mahkamah Kuala Lumpur di bawah Seksyen 117 Kanun Tatacara Jenayah.

Jelasnya, Chegu Bard disiasat di bawah Seksyen 4(a) Akta Hasutan 1948 iaitu berkecenderungan menghasut bagi mendatangkan kebencian atau membangkitkan perasaan tidak setiap terhadap mana-mana raja dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

“Siasatan dikendalikan oleh Unit Siasatan Terkelas, Bahagian Pendakwaan/Undang-Undang (D5) Bukit Aman dan disiasat di bawah Seksyen 4(a) Akta Hasutan 1948 iaitu berkecenderungan menghasut bagi mendatangkan kebencian atau membangkitkan perasaan tidak setiap terhadap mana-mana raja dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 iaitu penggunaan tidak wajar kemudahan rangkaian atau perkhidmatan,” katanya menerusi kenyataan, hari ini.

Beliau memberi jaminan tindakan tegas tanpa kompromi akan diambil terhadap mana-mana individu yang sengaja menggugat ketenteraman awam.

Dalam masa yang sama Suhaily menasihatkan orang ramai supaya tidak membuat sebarang ulasan atau spekulasi berkenaan isu berkenaan sehinhgga mengganggu siasatan.

“PDRM menggesa orang ramai agar menjadi pengguna media sosial yang bijak dan tidak menggunakan platform terbabit sehingga boleh mendatangkan kegentaran awam serta menggugat keharmonian negara,” ujarnya.

Terdahulu dilaporkan, Peguambela dan Peguamcara kepada Chegu Bard iaitu Rafique Rashid berkata, anak guamnya ditahan polis malam tadi dipercayai berhubung kenyataannya mengenai kasino di Forest City yang dilaporkan Bloomberg.

Tiga hari yang lalu, Datuk Seri Anwar Ibrahim menafikan kerajaan akan meluluskan sebuah lagi kasino berlesen di Forest City, Johor. – MalaysiaGazette