Tan Sri Muhyddin Yassin, Sidang media bersama calon pilihan Khairul Azhari di Pusat Khidmat DUN Kuala Kubu Bharu, Batang Kali, Selangor. Foto AIZAT ZAINAL, 25 APRIL 2024.

KUALA KUBU BAHARU – Calon Perikatan Nasional (PN) bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Kubu Baharu, Khairul Azhari Saut menjangkakan tiada lagi isu peribadi yang akan dilemparkan terhadap dirinya sepanjang kempen.

Pemangku Ketua Bahagian Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Hulu Selangor itu berkata beliau ingin menghabiskan kempen PRK ini dengan kempen secara baik tanpa menyerang peribadi calon lain.

“Saya rasa sudah-sudahlah dengan dakwaan peribadi tentang saya, dan berharap sudah tidak ada.

“Kita kempen secara baik dan serangan peribadi ini tidak bagus,” katanya kepada media selepas mengadakan program masyarakat di Kampung Chuang, hari ini.

Khairul Azhari hari ini menganggap pertikaian kesahihan taraf pendidikannya selesai selepas Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) Advance mengesahkan lanjutan pengajiannya di institusi itu.

Beberapa pihak termasuk pemimpin Umno kemudian menyoal kelayakan pendidikan calon PN itu yang memperoleh diploma eksekutif pengurusan dari Universiti Malaya (UM) pada 2019 dan dua tahun kemudian mendapat ijazah sarjana eksekutif dari UMPSA.

Pemegang diploma dilaporkan boleh melanjutkan pengajian terus ke peringkat sarjana eksekutif di UMPSA dengan memenuhi syarat-syarat kelayakan pengalaman kerja yang telah ditetapkan serta pemohon perlu melepasi pengiktirafan pembelajaran berasaskan pengalaman terdahulu (Rope) di iinstitusi pengajian itu.

Dalam pada itu, Khairul Azhari berkata, sambutan terhadap pengundi bukan Melayu khususnya masyarakat cina amat memberangsangkan.

Kata Khairul Azhari, setakat dua hari berkempen, masyarakat Cina amat senang dengan kehadiran beliau di kawasan-kawasan sekitar Kuala Kubu Baharu.

“Ia amat baik, setakat ini selama kita bertemu dengan pengundi cina mereka ada jabat tangan dengan saya.

“Ia bagus dan tidak ada masalah,” katanya. – MalaysiaGazette