Ketua Pengarah Pendidikan Malaysia, Azman Adnan ketika perasmian Majlis Pra-Pelancaran Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur kali ke-41 (PABKL 2024) di Tamarind Square, Cyberjaya, hari ini.

CYBERJAYA – Pendigitalan industri buku dijangka memberi impak dan menghasilkan bank data serta maklumat yang lebih signifikan dan tepat.

Ketua Pengarah Pendidikan Malaysia (KPM), Azman Adnan berkata, usaha ini sekaligus dapat membantu kerajaan dan penggiat industri untuk membuat keputusan dan menggubal dasar yang sepatutnya.

“Pendigitalan buku tidak akan menghentikan ekosistem penerbitan buku fizikal malah dapat memainkan peranan sebagai pelengkap dan memartabatkan industri buku negara.

“Ini juga selaras dengan usaha Dasar Pendidikan Digital untuk mewujudkan lebih ramai pembaca dalam kalangan masyarakat agar budaya membaca terus berkembang.

“Hasrat untuk merealisasikan reformasi industri buku negara, perlulah dimainkan peranan oleh semua pihak termasuklah penulis, penerbit dan para ilmuan untuk menghasilkan karya yang lebih berkualiti dan bermutu tinggi,” katanya.

Beliau menyatakan demikian ketika berucap pada majlis Pra Pelancaran Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur 2024 (PBAKL 2024), di sini, hari ini.

PBAKL 2024 edisi ke-41 yang akan diadakan di Pusat Dagangan Dunia (WTC) Kuala Lumpur dari 24 hingga 2 Jun ini bakal menghimpunkan 241 pempamer dari dalam dan luar negara dengan melibatkan 972 buah reruai.

Menurut Azman, penghasilan karya berkualiti merupakan asas penting untuk menarik minat dan membudayakan amalan membaca dalam kalangan masyarakat.

Tambah beliau, ia secara tidak langsung akan meningkatkan kuasa beli pengguna terhadap industri buku yang berpotensi menjadi penyumbang yang mampan kepada ekonomi negara.

“Bagaimanapun, apa yang lebih penting adalah penghasilan karya yang berupaya untuk menonjolkan kesantunan dan mengasah buah fikiran masyarakat kepada dunia,” ujarnya. – MalaysiaGazette