Setiausaha Agung BN, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir bercakap pada media berkenaan Program Komuniti anjuran Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) di Kerling, Kuala Kubu Bharu, Selangor. Foto AIZAT ZAINAL, 1 MEI 2024.

HULU SELANGOR – Kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) di kerusi N.06 Kuala Kubu Bharu yang masuk hari kelima masih terkawal dan tiada serangan yang boleh merosakkan semangat demokrasi.

Setiausaha Agung Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir berkata, bagaimanapun semua pihak diingatkan tidak menyebarkan fitnah dan melakukan hasutan sepanjang kempen berlangsung.

“Perjalanan kempen pada minggu pertama berada dalam keadaan yang terkawal dan tidak ada serangan meskipun mungkin ada beberapa ceramah yang dianjurkan.

“Kita perlu mengelakkan diri daripada menyebarkan sebarang fitnah atau membuat hasutan yang boleh mengancam kedudukan negara kita.

“Kita perlu mengambil iktibar peristiwa (hitam) yang berlaku di tempat lain,” katanya kepada MalaysiaGazette, di sini, hari ini.

Terdahulu beliau merasmikan Program Komuniti anjuran Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) di Kerling, Kuala Kubu Bharu, di sini.

Dalam pada itu, Zambry juga berkata, PRK Kuala Kubu Bharu ini bertujuan untuk meneruskan agenda mewujudkan kestabilan.

“Kita ingin sampaikan politik sederhana kepada rakyat kita untuk mengekalkan momentum keamanan dan kemakmuran di negara kita,” katanya lagi. – MalaysiaGazette