MELAKA – Seorang Penolong Pegawai Jabatan Perangkaan Melaka dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Ayer Keroh hari ini atas pertuduhan mengemukakan tuntutan palsu dan menyalah guna harta berjumlah lebih RM83,794 sejak tiga tahun lalu.
Tertuduh, Norrul Huda Marsidin, 40, bagaimanapun mengaku tidak bersalah sejurus enam pertuduhan dibacakan jurubahasa mahkamah di hadapan Hakim Elesabet Paya Wan.
Mengikut tiga kertas pertuduhan, wanita itu didakwa secara tidak jujur menyalahgunakan harta milik Jabatan Perangkaan Malaysia Negeri Melaka dan Pertubuhan Belia Bersatu Kampung Tenang masing-masing berjumlah RM18,154.10 dan RM59,400 antara Disember 2021 dan November 2022.
Jika sabit kesalahan tertuduh boleh dihukum penjara minimum enam bulan dan sehingga lima tahun dan sebat dan hendaklah juga dikenakan denda mengikut Seksyen 403 Kanun Keseksaan.
Tertuduh turut berdepan tiga pertuduhan mengemukakan tiga invois mengandungi penyataan palsu milik FIS Gemilang Enterprise bertarikh 22 November 2021 berjumlah RM6,640.
Penyataan itu adalah bagi kerja-kerja pembekalan makanan dan minuman yang sebenarnya tidak dibekalkan.
Bagi pertuduhan itu, tertuduh berdepan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000 mana yang lebih tinggi.
Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya SPRM, Mohamad Azriff Firdaus Mohamad Ali menawarkan jaminan RM40,000 beserta syarat tambahan tertuduh perlu melapor diri sebulan sekali di pejabat SPRM Melaka dan pasport diserahkan kepada mahkamah sehingga kes selesai.
Peguam Azrul Zulkifli Stork merayu jaminan minimum antara RM15,000 dan RM20,000 dengan alasan anak guamnya bertugas sebagai Penolong Pegawai dengan pendapatan bulanan RM5,000 selain menyara ibunya yang menghidap kencing manis dan darah tinggi.
Anak guamnya juga turut menghidap penyakit anxiety disorder dan sedang menjalani rawatan di sebuah hospital.
Selepas mendengar hujahan kedua-dua pihak, mahkamah membenarkan tertuduh dijamin RM20,000 dengan seorang penjamin dan membenarkan syarat tambahan dipohon pendakwaan.
Mahkamah menetapkan tarikh 26 Jun ini untuk sebutan semula kes dan serahan dokumen. – MalaysiaGazette
















