Bekas Menteri Kewangan, Lim Guan Eng bersama isterinya, Betty Chew hadir ke mahkamah bagi sebutan kes projek terowong dasar laut Pulau Pinang di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur. foto AFFAN FAUZI, 09 SEPTEMBER 2020

KUALA LUMPUR – Mahkamah Tinggi Pulau Pinang menolak permohonan Lim Guan Eng dan isterinya, Betty Chew Gek untuk membatalkan pertuduhan rasuah dihadapi mereka membabitkan projek asrama bernilai RM11.6 juta.

Ahli perniagaan yang dikaitkan dengan pasangan itu, Phang Li Koon turut membuat permohonan sama.

Susulan itu, Pesuruhjaya Kehakiman, Rofiah Mohamad dalam penghakimannya mahu perbicaraan kes tersebut yang sedang berjalan diteruskan.

Kata Rofiah, ini kerana terdapat perbezaan ketara dalam kesalahan yang didakwa berlaku melibatkan individu berbeza.

“Dalam penelitian mahkamah, walaupun setelah 25 saksi telah dipanggil, namun tiada sebarang dapatan oleh mahkamah berdasarkan keterangan saksi tersebut atau terdapat fakta terbukti melalui perbicaraan tersebut.

“Jika dikatakan budi bicara sebagai tidak mutlak bagi mencabar keputusan dibuat oleh Peguam Negara harus dibuat melalui penilaian semula kehakiman bukan permohonan di sini,” katanya di sini, hari ini.

Hakim kemudian menetapkan 26 Julai ini sebagai tarikh pengurusan kes.

Dalam pada itu, peguam mewakili Guan Eng yang juga bekas Ketua Menteri Pulau Pinang, RSN Rayer mengesahkan pihaknya akan membuat rayuan di Mahkamah Rayuan dalam masa terdekat.

Guan Eng,  Gek Cheng dan Phang menghadapi tuduhan di bawah Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 dan Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009.

Bagaimanapun ketiga-tiga mereka mengaku tidak bersalah di Mahkamah Tinggi selepas memindahkan kes dari Mahkamah Sesyen di Butterworth. – MalaysiaGazette