Mohd Zain Ghazali menunjukkan laporan polis mendesak siasatan ke atas syarikat baharu perlombongan yang ditubuhkan didakwa tidak berlesen sah di Wangsa Maju dalam sidang media hari ini.

KUALA LUMPUR – Pemegang saham sebuah syarikat perlombongan bijih timah meminta polis  mengambil tindakan ke atas pengerusi eksekutif syarikat yang sama yang didakwa terlibat dalam salah laku dan penyelewengan wang berjumlah RM2.8 juta.

Mohd Zain Ghazali, 69, turut mendakwa pengerusi eksekutif itu telah menubuhkan satu lagi syarikat menggunakan nama yang hampir sama dengan syarikat perlombongan sedia ada untuk perbuatan salah laku itu.

“Saya telah membuat tiga laporan polis berhubung perkara ini iaitu yang pertama pada 2 April 2022 diikuti laporan kedua bertarikh 26 Disember tahun sama dan laporan ketiga pada 16 Mei tahun ini.

“Laporan saya dibuat berdasarkan auditor syarikat kami menerusi penyata penyesuaian (Statement of Reconciliation) telah menemui transaksi kewangan yang diragui serta tidak sah membabitkan jumlah RM2,828, 208.80 oleh pengerusi eksekutif tersebut.

“Walaupun mempunyai bukti yang kukuh, masih tiada ada sebarang tindakan undang-undang terhadap individu tersebut daripada pihak berkuasa,” katanya dalam satu sidang media di Wangsa Maju hari ini.

Menurut Mohd Zain, dalam laporan polis terbaharu pada Khamis lalu, beliau turut menjelaskanlaporan audit yang difailkan oleh syarikat baharu yang ditubuhkan pengerusi eksekutif itu kepada Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) mennyatakan hasil pendapatan syarikat berkenaan adalah menerusi hasil perlombongan bijih timah.

“Namun persoalan di sini ialah carian kami dengan Lembaga Timah Malaysia mendapati syarikat baharu itu tidak mempunyai sebarang tanah perlombongan bijih timah.

“Selain itu, kita mendapati syarikat baharu itu tidak memiliki lesen sah melombong bijih timah dan dengan itu segala aktiviti perlombongan oleh syarikat itu adalah haram dan menyalahi undang-undang Akta Kawalan Timah 1954 (Akta 362).

“Oleh demikian laporan polis kali ketiga dibuat dengan keyakinan agar polis dapat menjalankan siasatan terperinci terhadap pengerusi eksekutif itu serta syarikat baharu yang ditubuhkan itu disusuli Tindakan berlunaskan undang-undang,” tegasnya.-MalaysiaGazette