Jenazah Muhamad Syafiq Ahmad Said selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Batu 8, Kuantan petang tadi.

KUANTAN – Jenazah Allahyarham Muhamad Syafiq Ahamad Said selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam 8, Jalan Gambang pukul 5.50 petang hari ini.

Anggota polis itu dikebumikan di tempat kelahirannya di sini selepas tiba di rumah keluarganya  di Taman Seri Mahkota Jaya.

Jenazah wira negara itu disembahyangkan buat kali kedua pada pukul 5 petang tadi oleh ratusan jemaah.

Hadir sama Ketua Polis Pahang, Datuk Seri Yahaya Othman serta 500 orang termasuk ahli keluarga dan sahabat arwah.

Terdahulu, pada pagi tadi, jenazah dimandikan selepas selesai proses bedah siasat di Unik Forensik Hospital Ismail (HSI) di Johor Bahru.

Manakala proses pengecaman mayat mangsa dibuat oleh abang sulung dan abang ketiga arwah, Amirzua dan Abdul Salam di Jabatan Forensik HSI semalam.

Terdahulu Raja Permaisuri Agong, Raja Zarith Sofiah juga berkenan berangkat ke Masjid Tunku Laksamana Abdul Jalil Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor bagi memberi penghormatan terakhir pagi tadi.

Seri Paduka Baginda pagi turut menyertai tahlil dan doa ringkas sebagai penghormatan terhadap jenazah dua anggota polis yang dihadiri Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain dan Ketua Polis Johor, Komisioner M Kumar.

Sejurus selesai jenazah Konstabel Muhamad Syafiq Ahmad Said, 24, dibawa menaiki van jenazah polis menuju ke Kuantan pukul 11.50 pagi dan tiba selepas empat jam kemudian.

Dalam insiden di Balai Polis Ulu Tiram semalam, dua pegawai polis maut setelah diserang oleh seorang lelaki bertopeng dan berpakaian gelap yang dengan bersenjatakan parang.

Kedua-dua mangsa, Muhamad Syafiq ketika bertugas dilaporkan ditembak di bahu dan perut manakala Konstabel Ahmad Azza Fahmi Azhar cedera ditetak di bahagian belakang leher dan kepala.

Manakala seorang lagi anggota pasukan keselamatan cedera dikenali Koperal Mohd Hasif Roslan. – MalaysiaGazette

ARTIKEL BERKAITAN:

Jenazah Muhamad Syafiq tiba di rumah keluarga