Bekas Menteri Besar Selangor, Tan Seri Muhammad Taib bercakap pada media semperna PRK Kuala Kubu Bharu, Selangor. Foto AIZAT ZAINAL, 2 MEI 2024

HULU SELANGOR – Bekas Menteri Besar Selangor Tan Sri Muhammad Muhammad Taib menjangkakan undi kaum Melayu terhadap calon Pakatan Harapan yang diwakili DAP Pang Sock Tao akan meningkat.

Menurut beliau, masyarakat Melayu di Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Kubu Baharu (KKB) menerima hakikat bahawa wakil rakyat kawasan ini secara tradisi diwakili oleh kaum Cina.

“Saya fikir undi Melayu akan meningkat kalau dulu cuma dapat 1,200 daripada 20,000 Melayu, saya fikir kali ini jumlah undi kepada PH akan meningkat. Mudah-mudahan ini akan beri kekuatan terus kepada calon PN.

“Seperti mana kita maklum dari zaman merdeka 1957 Kuala Kubu Baharu adalah kawasan yang ditandingi oleh orang Cina. Tak pernah orang Melayu bertanding di sini. Orang Melayu sudah menerima hakikat ini. Mereka tak ada kata Melayu kena undi Melayu,” katanya kepada MalaysiaGazette.

Beliau ditemui selepas selesai solat Jumaat di Masjid Al-Ubudiah Kerling hari ini.

Muhammad berkata, strategi Perikatan Nasional (PN) meletakkan calon Melayu Khairul Azhari Saut tidak akan memberi impak dalam memenangi undi kaum tersebut sambil menambah masyarakat Melayu tidak mempunyai perasaan syak wasangka kepada calon DAP.

“Pasal apa tahun 1959 tak ada prasangka. Apakah orang sekarang ini lebih tidak bertimbang rasa. Bagaimana nenek moyang kita dulu ikut? Tak ada masalah sehingga negara kita menjadi aman, maju, makmur.

“Menjadi antara negara termaju di Asia. Pertumbuhan yang tinggi. Pembangunan yang hebat kerana kerajasama semua kaum melalui BN tetapi sekarang ini dipanggil Kerajaan Perpaduan,” jelasnya.

Sementara itu Muhammad berkata, tidak wajar ada pihak yang mengajak pengundi untuk memboikot PRK KKB.

Katanya, setiap penggundi perlu diberikan peluang untuk memilih wakil rakyat yang mereka yang mereka inginkan.

“Bagi peluang nak undi. Kalau boikot maknanya kita macam membawa satu pendekatan tak berapa molek. Saya harap tidak ada siapa yang boikot. Keluar mengundi. Saya menyokong parti Kerajaan perpaduan siapa nak sokong parti satu lagi terpulang kepada mereka.

“Saya beritahu kenapa kita sokong parti ini kerana kerjasama Melayu, Cina, India, Khadazan, Murut, Iban yang ada dalam negara telah membawa kemakmuran kepada negara.

“Tak ada satu bangsa sahaja menguasai politik. Tak pernah berlaku dalam negara. Mustahil kalua Melayu sahaja hendak jadi kerajaan. Lain tak mahu, ini tak pernah berlaku. Jadi kita kena ikut apa yang dimulakan oleh datuk nenek kita dahulu. Kita sambung,” katanya.-MalaysiaGazette