Ketua Setiausaha Kementerian Pengangkutan, Datuk Jana Santhiran Muniayan bersama Anggota Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) memeriksa kenderaan berat pada Operasi Bersepadu Bil. 2/2024 JPJ WPKL di Jalan Duta, Kuala Lumpur. Foto AIZAT ZAINAL, 17 MEI 2024

KUALA LUMPUR – Lebih 1.74 juta notis pelbagai kesalahan dikeluarkan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) di bawah Akta Pengangkutan Jalan 1987 (Akta 333) sepanjang tahun 2023.

Pengarah Penguat Kuasa JPJ, Muhammad Kifli Ma Hasan berkata, bagi tempoh Januari hingga 30 April lalu, sebanyak 742,132 notis direkodkan atas pelbagai kesalahan melanggar peraturan jalan raya.

Untuk kes melibatkan pemandu warga asing, 107,766 pelbagai notis dikeluarkan pada 2023 dengan 42,087 atau 39 peratus tidak memiliki lesen atau tamat Lesen Kenderaan Motor (LKM) serta tiada insurans kenderaan.

Manakala dalam tempoh Januari hingga April lalu, 63,825 notis dikeluarkan iaitu 22,183 (35%) tidak memiliki lesen memandu dan 13,294 (21%) kesalahan tiada atau tamat tempoh LKM dan tiada insurans.

Pengarah penguat Kuasa JPJ, Muhd Kifli Ma Hassan bercakap pada sidang media berkenaan Operasi Bersepadu Bil. 2/2024 JPJ WPKL di Jalan Duta, Kuala Lumpur. Foto AIZAT ZAINAL, 17 MEI 2024

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas melakukan Operasi Bersepadu bersama lebih 140 pegawai serta anggota dari jabatan dan agensi penguatkuasaan di Plaza Tol Jalan Duta di sini malam tadi.

Turut hadir bersama Ketua Setiausaha Kementerian Pengangkutan, Datuk Jana Santhiran Muniayan bersama Ketua Pengarah JPJ, Datuk Rospiagos Taha dan Pengarah JPJ Kuala Lumpur, Mohd Zaki Ismail.

Jelas Muhammad Kifli, pihaknya memandang serius dan tidak akan berkompromi dengan pemandu yang masih tegar melanggar undang-undang dan peraturan yang ditetapkan.

“Penguatkuasaan dan tindakan tegas akan dilaksanakan secara berterusan khususnya kepada warga asing yang melanggar peraturan.

“Ia termasuk kepada pemilik kenderaan yang menyewakan kenderaan mereka atau membenarkan kenderaan mereka digunakan warga asing tanpa memiliki lesen memandu dan lesen kenderaan motor yang sah.

“Tindakan tegas ini adalah bagi memastikan ekosistem pembudayaan keselamatan jalan raya yang lebih selamat kepada semua pengguna,” ujarnya.

Anggota Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) bersama pasukan Polis Diraja Malaysia (PDRM), Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK), Jabatan Alam Sekitar (JAS), dan Pusat Kenderaan Berkomputer (PUSPAKOM) melakukan memantauan ketika Operasi Bersepadu Bil. 2/2024 JPJ WPKL di Jalan Duta, Kuala Lumpur. Foto AIZAT ZAINAL, 17 MEI 2024

Operasi bersepadu kali ini fokus kepada sembilan kesalahan yang dilakukan pengguna jalan raya membabitkan penunggang motosikal, kereta, kenderaan awam dan perdagangan.

“Penguatkuasaan berterusan yang dilaksanakan ini juga adalah untuk meningkatkan akauntabiliti pengguna jalan raya supaya peraturan di bawah Akta 333.

“Antara sembilan kesalahan utama jadi tumpuan adalah tidak mematuhi had laju, tidak mematuhi lampu isyarat, memotong garisan berkembar, memandu di lorong kecemasan dan memotong barisan.

“Selain itu, menggunakan telefon bimbit, tidak memakai tali pinggang atau topi keledar, serta memandu kenderaan berat di lorong laju dan membawa lebih muatan,” jelasnya.

Terdahulu, sebanyak 2,512 buah kenderaan telah diperiksa dengan 196 daripadanya diambil tindakan dalam Operasi Bersepadu yang dijalankan bermula jam 8 malam hingga jam 1 pagi tadi. – MalaysiaGazette