Hamzah Zainuddin

KUALA LUMPUR – Ketua Pembangkang menyindir kepimpinan negara ekoran Malaysia berada di kedudukan ke-107 dalam Indeks Kebebasan Media Dunia 2024 berbanding tangga ke-73 tahun lepas.

“Apa dah jadi? Bukankah PMX (Datuk Seri Anwar Ibrahim) dan Menteri Komunikasi kata mereka pejuang kebebasan media & kebebasan bersuara?

“Hebat reformasi Madani sehinggakan jatuh 34 anak tangga,” sindir Setaiusaha Agung Bersatu itu dalam hantaran media sosial hari ini.

Malaysia berada di kedudukan ke-107 dalam Indeks Kebebasan Media Dunia 2024 yang diterbitkan oleh Reporters Without Borders (RSF) berbanding tangga ke-73 tahun lepas.

Kedudukan Malaysia kini menurun 34 anak tangga dengan mencatat 52.07 mata berbanding tahun sebelumnya iaitu 62.83 mata.

Bagi negara ASEAN, Malaysia berada di kedudukan kedua dipintas oleh Thailand yang berada pada tangga ke-87 diikuti Indonesia (111), Brunei (117), Singapura (126), Filipina (134), Kemboja (151), Laos (153), Myanmar (171) dan Vietnam (174).

Penurunan kedudukan Malaysia antara lain dikaitkan dengan tindakan kerajaan yang proaktif dalam menyekat hantaran atau perkongsian yang menyentuh sensitiviti kaum, agama serta raja, selain kritikan terhadap kerajaan.

Menurut analisis RSF, kerajaan mengenakan tekanan politik yang besar untuk menghalang media daripada menangani subjek sensitif atau mengkritik ahli politik dan pegawai kerajaan.

Badan antarabangsa yang memantau kebebesan media di Paris itu akan menerbitkan Indeks Kebebasan Media Dunia pada 3 Mei setiap tahun. – MalaysiaGazette