Kordinator Jaringan Rawang Tolak Insinerator Liow Yeong Lih kesal dua calon mewakili kerajaan dan pembangkang tidak mahu bertemu ketika berkempen di pekan Kuala Kubu Bharu, Selangor. Foto AIZAT ZAINAL, 4 MEI 2024

HULU SELANGOR – Sebuah badan bukan kerajaan (NGO) Jaringan Rawang Tolak Insinerator kesal dengan tindakan dua calon yang mewakili kerajaan dan pembangkang tidak mahu bertemu dengan mereka.

Penyelaras badan tersebut, Liow Yeong Lih cuba untuk bertemu dengan calon Pakatan Harapan (PH), Pang Sock Tao pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Kubu Baharu namun gagal.

Beliau mahu meminta padangan dan pendirian sama ada Sock Tao menyokong pengubalan undang-undang bagi pengasingan sampah di Selangor dan adakah dia menyokong pembinaan insinerator di Rawang.

“Pagi ini, Cik Pang dia lari tak mahu jumpa. Sebelum ini kita ada WhatsApp dan menelefon. Pagi ini kami sampai tetapi bila nampak kita dia lari.

“Petang ini kita menunggu Menteri Besar Selangor. Selama ini dia berjanji hendak jumpa kita ajak minum di rumah dia sampai hari ini kita tunggu sahaja tidak ada jawapan,” dakwa Yeong Lih yang ditemui di sini hari ini.

Datuk Seri Amirudin Shari dan Sock Tao dijadual hadir pada program Meet & Greet Temasya Jalanan KKB bersama MB Selangor yang berlangsung di pekan itu pada pukul 5.00 petang tadi.

Bagaimanapun Amirudin tidak dapat menyertai program tersebut dan hanya Sock Tao sahaja hadir menemui pemilik reruai dan orang ramai.

Pang Sock Tao beramah mesra dengan pengunjung.

 

NGO itu mendakwa projek insinerator berbahaya sehingga bekas Menteri Tenaga, Teknologi, Sains, Perubahan Iklim dan Alam Sekitar Yeo Bee Yin menolak pembinaannnya di Puchong.

“Sekarang (pembinaan insinerator) dalam proses mendapatkan kelulusan penilaian Kesan Alam Sekitar (EIA). EIA pun belum lulus lagi MB sudah beritahu bulan Jun sudah mula pecah tanah.

“Kamu boleh tanya Yang Berhormat Yeo mengapa ada cadangan pembinaan di Puchong dan dia tidak mahu, cadangan pembinaan di Broga orang tidak mahu, kemudian di Kepong orang tidak mahu.

“Kamu tanya mereka kenapa bantah semua projek. Bawa kesan negatif kepada penduduk persekitaran,” jelasnya.

Calon Perikatan Nasional, Khairul Azhari Saut beramah mesra bersama penduduk tempatan di Temasya Jalanan di Kuala Kubu Bharu, Selangor. Foto AIZAT ZAINAL, 4 MEI 2024

Pada masa sama, calon Perikatan Nasional (PN), Khairul Azhari Saut turut datang ke program berkenaan namun enggan melayani persoalan yang dilontarkan oleh Yeong Lih.

“Dia tak mahu jawab dua soalan sahaja. Kalau sebelum dia dipilih tak mahu jawab apa yang boleh kita harap terhadap mereka?  Kalau mereka sokong pembinaan insinerator bolehlah bina di sini (Kuala Kubu Baharu),” katanya lagi.

Sementara itu, hasrat media dan orang ramai untuk melihat kedua-dua calon bertembung pada program itu tidak kesampaian apabila Sock Tao tidak menghabiskan lawatannya sehingga ke penghujung ketika Khairul Azhari dan kumpulan NGO tersebut berada di kawasan yang sama.

Media sebelum ini melaporkan penduduk membantah cadangan projek pembinaan insinerator baharu di Lot 3847, Rawang berikutan pelbagai faktor.

Difahamkan cadangan projek insinerator itu akan menampung sisa pepejal dari Majlis Bandaraya Petaling Jaya, Majlis Bandaraya Shah Alam, Majlis Bandaraya Subang Jaya, Majlis Perbandaran Ampang Jaya, Majlis Perbandaran Hulu Selangor dan Majlis Perbandaran Selayang.

Untuk rekod Rawang terletak kira-kira 30 kilometer daripada Kuala Kubu Baharu.- MalaysiaGazette