Timbalan Setiausaha Agung Perikatan Nasional, Datuk Seri Takiyuddin Hassan bercakap kepada media selepas Pelancaran Manifesto Perikatan Nasional sempena Pilihan Raya Kecil (PRK) Kuala Kubu Baharu ketika di Pekan Kuala Kubu Baharu. Foto MOHD ADZLAN, 06 MEI 2024.

KUALA KUBU BAHARU – Perikatan Nasional (PN) mengesahkan akan mengemukakan petisyen pilihan raya selepas Pilihan Raya Kecil (PRK) bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Kubu Baharu.

Setiausaha Agung Pas, Datuk Seri Takiyuddin Hassan berkata, ia atas alasan kerajaan perpaduan telah menyalah guna kuasa dan jentera sebelum dan ketika kempen PRK sedang berlangsung.

“Kami berikan amaran, kalau ditakdirkan PH menang, kami akan failkan petisyen pilihan raya, itu sudah pasti.

“Kita ada kes seperti di Kuala Terengganu dan Kemaman,” katanya kepada media selepas menghadiri pelancaran manifesto calon PN, Khairul Azhari Saut di bandar Kuala Kubu Baharu, petang tadi.

Takiyuddin berkata, perkara itu dibolehkan merujuk kepada keputusan Pilihan Raya Umum ke 15 (PRU15) yang mana Mahkamah Pilihan Raya Terengganu membatalkan kemenangan Ahmad Amzad daripada Pas bagi kerusi Parlimen Kuala Terengganu.

Keputusan itu dibuat selepas pihak pempestiyen berjaya membuktikan wujudnya unsur rasuah ketika kempen pada pilihan raya berkenaan.

Mengulas lanjut, Takiyuddin berkata, pihaknya telah mengumpulkan bukti-bukti kukuh mengenai salah guna kuasa dan jentera tersebut.

Malah katanya, bukti tersebut akan dikemukakan ketika permohonan petisyen berkenaan dibuat.

“Bukti pelanggaran kami ada secara video dan catatan sebagianya. Kita sudah kumpulkan perkara ini. Jadi saya menyeru kepada pengundi Kuala Kubu Baharu, jika tak nak mengundi sekali lagi PRK pastikan PN menang.

“Kalau PH menang pasti kami akan failkan petisyen pilihan raya nanti,” katanya.

Awal bulan ini, Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming mengumumkan peruntukan RM5.21 juta kepada Majlis Perbandaran Hulu Selangor (MPHS) menjelang PRK Kuala Kubu Bharu.

Bagaimanapun, Naib Pengerusi DAP itu menyatakan tindakannya tidak menyalahi Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954 berikutan peruntukan itu diumumkan sebelum hari penamaan calon dan bukan dalam tempoh kempen. – MalaysiaGazette