KUALA LUMPUR – BJAK Sdn Bhd (BJAK), penyedia perbandingan insurans dalam talian terkemuka di Malaysia berkata, pembaharuan cukai jalan yang ditawarkannya adalah perkhidmatan pilihan bagi para pelanggannya dan ia masih beroperasi seperti biasa.

Syarikat ini berkata, perkhidmatan utamanya adalah perbandingan dan pembaharuan insurans kenderaan bermotor, disertakan dengan perkhidmatan VIP yang khas untuk pelanggannya.

Manakala platform lain pula dakwanya, biasa mengenakan bayaran yang berkisar dari RM3 hingga RM11 untuk perkhidmatan pembaharuan, BJAK telah
menjadikan perkhidmatan pilihan ini percuma untuk semua pelanggan.

Syarikat ini sebelum ini menanggung sebarang caj kepada pembekal rasmi Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ).

Perkhidmatan pembaharuan cukai jalan BJAK kini ditawarkan kepada pelanggan tanpa sebarang caj, sebagai sebahagian daripada inisiatif untuk menjadikan pembaharuan lebih mudah dan berkesan dari segi kos bagi pelanggannya.

Tambahnya, BJAK mengekalkan ulasan tertinggi dalam industri, dengan lebih daripada 250,000 ulasan di Google.

Dakwa syarikat ini, semua komen diberi jawapan dengan liputan 100%.

“BJAK mempunyai matlamat penyelesaian pada hari yang sama untuk semua pertanyaan atau maklum balas oleh pelanggan. BJAK mengakui isu-isu yang dibangkitkan oleh JPJ dan sedang aktif bekerjasama dengan pihak berkuasa untuk membantu meningkatkan pengalaman bagi semua pemilik kenderaan di Malaysia.

“Perlu diperhatikan bahawa kempen cukai jalan percuma BJAK adalah sebahagian daripada inisiatif swasta yang bertujuan untuk meningkatkan nilai pelanggan dan tidak berkaitan dengan sebarang mandat kerajaan dan tetap komited untuk menyediakan penyelesaian inovatif dan perkhidmatan yang luar biasa sambil mengekalkan standard pematuhan yang tertinggi,” katanya dalam satu kenyataan.

Semalam, JPJ berkata, pihaknya tidak pernah memberikan kelulusan kepada BJAK untuk menjalankan perkhidmatan urus niaga pembaharuan cukai jalan.

Susulan itu, kenyataan yang dipaparkan oleh BJAK melalui laman sesawang mereka bahawa ‘Pembaharuan roadtax secara dalam talian di BJAK telah diaudit, disah dan diluluskan oleh JPJ’ adalah tidak benar dan mengelirukan orang awam.

JPJ berkata, pihaknya memandang serius terhadap kandungan iklan yang dikeluarkan oleh BJAK melalui laman sesawang bjak.my dan media sosial BJAK berhubung perkhidmatan urus niaga pembaharuan Lesen Kenderaan Motor (LKM) atau cukai jalan secara dalam talian yang ditawarkan kepada orang awam termasuk program pemberian cukai jalan secara percuma. – MalaysiaGazette

BJAK tidak pernah diberi kelulusan untuk urus niaga pembaharuan cukai jalan – JPJ

 

1 Komen

  1. Bila syarikat mula menafikan dan menyanggah kenyataan badan penguasa kenderaan..dimana intergriti dan kuasa yg ada.

Comments are closed.