Datuk Chuari Selamat.

AMPANG – Allahyarham Datuk Hail Amir semasa hidupnya disifatkan sebagai seorang yang sentiasa menjaga hubungan baik bersama sahabatnya.

Malah beliau tidak pernah melupakan pencipta setiap lagu dendangannya.

Penulis lirik, Datuk Chuari Selamat yang sudah menulis hampir 100 lagu untuk Hail mengakui senang untuk bekerjasama dengan penyanyi berasal dari Pulau Pinang itu sejak awal era 1970-an.

“Bagi saya, arwah merupakan seorang penyanyi yang mudah untuk menerima lirik yang saya tulis. Banyak kenangan saya bersama arwah, dia sangat mesra dan sentiasa ingat pada kawan-kawan.

“Kalau dalam majlis yang arwah menyanyi, dia takkan lupa menyebut lagu itu ciptaan siapa. Ada sesetengah penyanyi selalu lupa perkara itu. Jadi, bagi saya itu antara kelebihan yang ada pada arwah,” katanya ketika ditemui ketika proses pengurusan jenazah Allahyarham Hail di Masjid Ukay Perdana hari ini.

Chuari yang juga bekas juruhebah RTM berkata, karya Hail mempunyai keunikan tersendiri malah bersifat malar segar selain sering menjadi siulan sehingga hari ini.

“Saya rasa hampir 100 buah lagu yang liriknya saya tulis buat Hail. Bukan ciptaan daripada Tan Sri Ahmad Nawab sahaja tapi daripada komposer lain juga termasuk yang menerbitkan album beliau.

“Kebanyakan lagu buat arwah akan diberi untuk saya tulis lirik. Sejak album pertama arwah lagi iaitu Wajah Kesayangan Hamba. Ketika itu melodi dibuat oleh Tan Sri Ahmad Nawab dan diperkenalkan kepada Hail yang masih baharu,” ujarnya.

Mengulas mengenai lakonan Hail pula, Chuari berkata, menerusi filem pertamanya, Jiwa Remaja, ia sangat memberi kesan sehingga perwatakan dan penampilan Hail menjadi ikutan ramai.

“Daripada segi lakonan sejak filem pertamanya, watak dibawakan arwah sangat baik dan memberi kesan kepada saya. Saya sangat terkesan dengan lakonannya.

“Saya rasa walaupun dia bermula sebagai penari sebelum menjadi penyanyi dan pelakon, Hail boleh digelar seorang penghibur malah pandai menjaga hubungan dengan rakan-rakannya,” jelasnya.

Semalam, Hail atau nama sebenar, Abdul Hail Amir berusia 79 tahun disahkan meninggal dunia di Hospital Kuala Lumpur (HKL), kira-kira jam 3.48 petang akibat jangkitan paru-paru. – MalaysiaGazette