Ahli Parlimen Kinabatangan, Datuk Seri Bung Moktar Radin dan isteri, Datin Seri Zizie Izette A. Samad hadir ke mahkamah atas pertuduhan rasuah di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur. foto AFFAN FAUZI, 16 MAC 2O2O.

PUTRAJAYA – Mahkamah Rayuan di sini akan mendengar rayuan pendakwaan mengapa pasangan suami isteri, Datuk Seri Bung Moktar Radin dan Datin Seri Zizie Izette wajar dihadapkan untuk membela diri tiga pertuduhan menerima rasuah RM2.8 juta berkaitan pelaburan Felcra Bhd.

Sebelum ini, Mahkamah Tinggi telah membebaskan Bung Moktar yang juga Ahli Parlimen Kinaatangan dan isterinya, Zizie melalui proses semakan.

Pendakwaan melalui petisyen rayuan pada 3 Mei lepas telah menggariskan  tujuh sebab mengapa pasangan itu perlu diperintah membela diri.

Kata pendakwaan, hakim Mahkamah Tinggi telah terkhilaf daripada segi fakta dengan melaksanakan bidang kuasa semakan dan membebaskan pasangan itu.

Malah Mahkamah Tinggi tidak merujuk alasan penghakiman penuh Mahkamah Sesyen berhubung keterangan dua saksi pendakwaan penting iaitu saksi ke-24, Madhi Abdul Hamid dan saksi ke-25, Norhaili Ahmad Mokhtar.

“Mahkamah Tinggi telah terkhilaf menilai kembali keterangan SP24 dan SP25 dalam menjalankan bidang kuasa semakan di bawah Seksyen 325 Kanun Prosedur Jenayah (CPC) dan Seksyen 35 Akta Mahkamah Kehakiman 1964,” kata petisyen itu.

Pada 7 September tahun lepas, Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Azhar Abdul Hamid membuat keputusan itu selepas membenarkan permohonan Bung Moktar dan Zizie untuk menyemak keputusan Mahkamah Sesyen yang memerintahkan mereka membela diri pada 2 September tahun lalu.

Bung Moktar dan Zizie Izette merayu terhadap keputusan Azhar pada 9 Disember tahun lalu yang menolak permohonan pasangan itu untuk menyemak keputusan Mahkamah Sesyen yang memerintahkan mereka membela diri atas tiga pertuduhan rasuah.

Untuk makluman, pada 2 September 2022, Rozina memerintahkan pasangan itu membela diri atas tiga pertuduhan rasuah selepas mendapati pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes prima facie terhadap mereka.

Pada 3 Mei 2019, Bung Moktar didakwa atas dua pertuduhan menerima rasuah berjumlah RM2.2 juta dan RM262,500 sebagai dorongan mendapatkan kelulusan Felcra untuk membuat pelaburan RM150 juta dalam unit amanah Public Mutual.

Beliau juga didakwa menerima suapan wang tunai RM337,500 daripada perunding Unit Amanah, Norhaili Ahmad Mokhtar di bawah nama Zizie Izette atas sebab sama dan di tempat sama pada 19 Jun 2015.

Zizie Izette pula berdepan tiga pertuduhan bersubahat dengan suaminya berhubung perkara itu di tempat, tarikh dan masa yang sama. – MalaysiaGazette