Gambar hiasan.

KUALA LUMPUR – Tindakan seorang lelaki yang dipercayai di bawah pengaruh dadah membuat ugutan jenayah terhadap seorang wanita sehingga merosakkan kenderaan mangsa menggunakan kayu golf akan diheret ke mahkamah esok.

Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Mohd Azam Ismail berkata, pihaknya menerima aduan mengenai kejadian itu daripada seorang wanita di Blok Kondominium Sri Ampang,  Taman Dagang pada 6 April lalu.

Dalam kejadian jam lebih kurang 3 petang itu, pengadu semasa berada di alam kereta Proton Preve bersama ibu kandung serta dua anaknya telah didatangi suspek lelaki warga tempatan dengan memegang sebatang kayu golf di tangannya.

“Suspek secara tiba-tiba terus memukul cermin hadapan kereta mangsa yang kemudian mengakibatkan retak dan pecah.

“Bertindak atas laporan dan kejadian itu, pada 17 Mei lalu sekitar 5 petang sepasukan polis  telah membuat tangkapan ke atas suspek disyaki bertanggungjawab atas jenayah tersebut,” katanya dalam kenyataan malam ini.

Mohd Azam berkata, polis turut membuat rampasan di unit kediaman suspek di Kondominium Sri Ampang dan semakan lanjut mendapati tangkapan mempunyai sebanyak 17 rekod lampau pelbagai kesalahan berkaitan jenayah dan dadah.

“Malah ujian air kencing yang dijalankan dapati suspek disahkan positif dadah jenis methaphetamine dan morfin dan motif kejadian juga adalah suspek berada di bawah pengaruh dadah ketika melakukan perbuatan itu,” ujarnya.

Suspek telah dibawa ke Mahkamah Ampang dan dibenarkan direman selama empat hari bermula sehingga 21 Mei ini dan disiasat di bawah Seksyen 506 Kanun Keseksaan melakukan ugutan jenayah yang boleh membawa hukuman penjara maksimum tujuh tahun atau denda atau kedua-duanya.

Kes turut disiasat di bawah Seksyen 427 Kanun Keseksaan iaitu melakukan khianat membawa hukuman penjara dua tahun atau dengan denda atau kedua-duanya.

“Suspek akan dituduh pagi esok di Mahkamah Majistret Ampang di bawah Seksyen 427 Kanun Keseksaan,” katanya.-MalaysiaGazette