SHAH ALAM – Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) bersedia memberikan bantuan sekiranya diperlukan oleh waris mangsa yang maut akibat dihempap pokok di Jalan Sultan Ismail, baru-baru ini.

Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Nancy Shukri berkata, pihaknya akan sentiasa memantau perkembangan terkini isteri dan anak-anak Allahyarham Md Rizal Atan dari semasa ke semasa.

“Sokongan moral daripada JKM kalau diperlukan kita sentiasa bersedia kita ada pakar kaunseling yang boleh membantu. Kita akan siasat dan buat follow up kemudian (bantuan yang lain),” katanya.

Nancy berkata demikian Ketika menziarahi keluarga dan waris Md Rizal Atan, 47 di kediaman ibunya, di sini, hari ini.

Beliau turut menyampaikan sumbangan tunai RM3,000 dan barangan keperluan daripada Yayasan Kebajikan Negara kepada balu Allahyarham.

Md Rizal meninggalkan seorang balu, Nor Pahidah Mat Zaman berusia 43 tahun dan empat orang anak.

Nancy berkata, difahamkan isteri Allahyarham merupakan suri rumah tangga sepenuh masa dan tidak bekerja.

Md Rizal maut dihempap pokok tumbang di Jalan Sultan Ismail ketika dalam perjalanan ke sebuah hotel untuk menjemput tetamu syarikat majikannya, kelmarin.

Kejadian hujan lebat dan angin kuat kira-kira jam 2 petang itu turut menyebabkan dua lagi cedera selepas sebatang pokok tumbang menghempap 17 kenderaan dan landasan monorel.-MalaysiaGazette