KUALA LUMPUR – Ahli Parlimen Tasek Gelugor, Datuk Wan Saiful Wan Jan melahirkan rasa simpati terhadap Teresa Kok yang menerima ugutan bunuh, kelmarin.
Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu berkata, beliau berharap pihak berkuasa akan mengambil tindakan segera terhadap ancaman yang diterima Ahli Parlimen Seputeh itu.
“Saya juga mengecam perbuatan mengugut yang dilakukan. Wakil-wakil rakyat perlu merasa selamat untuk menyuarakan pandangan, tanpa kebimbangan mengenai ugutan sebegini,” katanya menerusi hantaran di Facebook beliau hari ini.
Menurut Wan Saiful, perbezaan pandangan adalah perkara biasa dan sihat dalam sistem demokrasi, malah budaya ugut mengugut, apatah lagi dalam perkara melibatkan keselamatan diri dan nyawa perlu dipastikan agar ianya tidak ada tempat di dalam negara ini.
Dalam pada itu Wan Saiful berkata, beliau difahamkan polis sedang mengambil tindakan berhubun perkara itu.
“Saya ucapkan terima kasih atas tindakan segera yang dijalankan” tambahnya.
Semalam, Teresa berkongsi perkara itu di laman sosialnya dengan mendakwa menerima ancaman bunuh dalam sekeping kertas bersama sampul surat berisi dua butir peluru, kelmarin.
Teresa berkata, sampul yang mengandungi benda keras itu diambilnya dalam peti surat sebaik sahaja pulang ke rumah.
Beliau kemudian membuat laporan polis dan menyerahkan sampul surat dan peluru berkenaan kepada polis di Balai Petaling. – MalaysiaGazette