Datuk Norliza Abdul Rahim N (berdiri enam dari kiri) bergambar bersama pelajar-pelajar istimewa yang menerima sumbangan akaun Simpan SSPN Prime.

KUALA LUMPUR – Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) meraikan pelbagai pelanggan dalam Majlis Mesra Bersama Pelanggan 2024 di Hotel Royale Chulan, di sini, semalam.

Para pelanggan yang diraikan terdiri daripada Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT), agensi kerajaan, agensi swasta, SAHABAT PTPTN, rakan strategik dan rakan-rakan media.

Majlis disempurnakan Pengerusi PTPTN, Datuk Norliza Abdul Rahim bertujuan menzahirkan ucapan terima kasih dan penghargaan kepada semua pihak yang banyak memberikan sokongan dan kerjasama padu dalam meningkatkan penyampaian perkhidmatan PTPTN.

Hadir pada majlis, Ketua Eksekutif PTPTN, Ahmad Dasuki Abdul Majid, Lembaga Pengurusan PTPTN serta Pengurusan Tertinggi Kementerian Pendidikan Tinggi dan PTPTN.

Pada majlis itu, PTPTN turut menerima sumbangan untuk myWaqafPTPTN daripada syarikat korporat iaitu UOB Islamic Asset Management Sdn Bhd, Saturna Sdn Bhd, Uda Holdings Berhad, Principal Islamic Asset Management Sdn Bhd, Ninja Logistics Sdn Bhd dan Bank Muamalat Malaysia Berhad.

Mereka merupakan antara penyumbang terawal sejak myWaqafPTPTN dilancarkan pada 11 Mac 2024.

myWaqafPTPTN ialah dana wakaf pendidikan tinggi, hasil kerjasama PTPTN dengan Yayasan Waqaf Malaysia (YWM) bagi mempelbagaikan sumber dana pembiayaan PTPTN selain melalui pinjaman sedia ada.

PTPTN menerima replika kad sumbangan myWaqafPTPTN berjumlah RM50,000
daripada UOB Islamic Asset Management Sdn Bhd

myWaqafPTPTN bertujuan membantu mahasiswa dalam bentuk biasiswa pendidikan tinggi yang akan mengurangkan bebanan bayaran balik pinjaman.

Norliza berkata, pihaknya menyeru sokongan semua pihak berkepentingan, rakan-rakan strategik dan para pelanggan menyemarakkan amalan berwakaf melalui myWaqafPTPTN.

Paling menarik, setiap sumbangan kepada myWaqafPTPTN layak mendapat potongan cukai 10 peratus daripada pendapatan agregat di bawah Subseksyen 44 (11C) Akta Cukai Pendapatan 1967”.

Selain itu, turut diadakan ialah penyampaian sijil penghargaan kepada sepuluh rakan strategik yang menyumbang kepada galakan penabungan dan bayaran balik pinjaman bagi tahun 2023 dan 2024.

Antaranya, Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT), Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM), Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), Kerajaan Negeri Sarawak, Kerajaan Negeri Sabah, Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM).

Pada majlis yang sama, PTPTN telah memberikan sumbangan tanggungjawab sosial korporat (CSR) berjumlah RM5,000 dalam bentuk akaun Simpan SSPN Prime kepada 10 pelajar istimewa iaitu masing-masing lima dari Universiti Kebangsaan
Malaysia (UKM) dan Universiti Sains Islam Malaysia (USIM).

UKM dan USIM telah menandatangani memorandum persefahaman (MoU) dengan PTPTN dan sumbangan ini merupakan salah satu bentuk kerjasama strategik, tanda keprihatinan PTPTN dalam aspek pendidikan.

Dalam usaha menggalakkan budaya menabung, PTPTN juga proaktif dengan menganjurkan pelbagai kempen cabutan hadiah.

Pada majlis ini, PTPTN turut meraikan pemenang bagi kempen Cabutan Siri WOW! Gong Xi Ang Pow.

Norliza Abdul Rahim (tengah) menyerahkan replika kad berjumlah RM10,000 kepada pemenang hadiah utama Cabutan Siri WOW! Gong Xi Ang Pow 2024.

Kempen ini merupakan cabutan siri pertama bagi Cabutan WOW! Simpan SSPN 2024 telah diadakan bermula 1 Januari 2024 sehingga 29 Februari 2024 yang menawarkan hadiah lumayan berupa ang tunai berjumlah RM100,000.

“Melalui tabungan dalam Simpan SSPN, pelbagai manfaat dan keistimewaan disediakan kepada pendeposit. Antaranya, pelepasan taksiran cukai pendapatan sehingga RM8,000 setahun, perlindungan takaful ke atas pendeposit.

“Geran Sepadan sehingga RM10,000 untuk satu keluarga yang layak, dividen yang kompetitif, simpanan yang dijamin Kerajaan dan patuh syariah,” ujar beliau. – MalaysiaGazette