Saifuddin menerima cenderahati daripada Dr Sathia Prakash Nadarajan pada Majlis Ramah Mesra di Hulu Selangor malam tadi. - Foto Keadilan.

KUALA LUMPUR – Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail optimis calon kerajaan Perpaduan akan dipilih sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri Kuala Kubu Baharu dalam Pilihan Raya Kecil Kawasan itu 11 Mei ini.

Setiausaha Agung PKR Pusat itu menyatakan keyakinan itu percaya masyarakat India yang mewakili 18 peratus daripada keseluruhan pengundi berdaftar di KKB itu tidak akan mudah termakan dengan dakyah dan umpan yang disebarkan pembangkang.

“Walaupun ada pihak di sebelah sana meminta masyarakat India berkecuali dan tidak menyatakan undi pada PRK nanti tetapi saya tidak fikir komuniti India tidak mudah termakan dengan umpan itu.

“Saya sebaliknya sangat yakin mereka (pengundi India) akan bertindak secara bijaksana dan memangkah demi masa depan dan kesejahteraan mereka memilih pemimpin dari kerajaan Perpaduan 11 Mei nanti,” katanya.

Puluhan wakil NGO India kawasan Hulu Selangor yang hadir ke Majlis malam tadi. Sumber Keadilan.

Beliau berkata demikian di Program Ramah Mesra dan Perpaduan Bersama Ketua-Ketua Komuniti India Kuala Kubu BaharuĀ  malam tadi bersama Penyelaras Parlimen Hulu Selangor, Dr Sathia Prakash Nadarajan merangkap Timbalan Setiausaha Agung PKR Pusat.

“Saya ingin pesan bahawa jika anda menangkan calon yang datang dari kerajaan negeri yang sama dengan kerajaan Persekutuan, ia akan memudahkan masyarakat termasuk pengundi India menyelesaikan segala permasalahan mereka dengan efektif berbanding wakil dari parti lain.

“Jika anda memilih dan menangkan calon mewakili parti lain, agak susah untuk hendak bekerjasama untuk kesejahteraan masyarakat dan itulah realitinya.

“Kalau memberi peluang kepada Pang Sock Tao mewakili anda di sini segala perkara dan isu yang dibawa dari KKB akan menjadi lebih mudah kepada kerajaan Pusat untuk diuruskan dilaksanakan.

“Misalnya jika dan isu berkaitan KDN senang dirujuk kepada saya terus, kalau soal kesihatan terus boleh dirujuk kepada perhatian Menteri Kesihatan dan apa sahaja perkara-perkara lain di masa akan datang sebab kita merupakan kerajaan yang sama di Pusat dan negeri.

“Walau apa jua keputusan diterima nanti pada 11 Mei ini, kerajaan Pusat dan negeri tetap sama dan tidak akan berubah.

“Ingat bahawa satu undi anda kita angkat wakil kerajaan Perpaduan dan membantu kuatkan kerajan negeri dan Persekutuan dan itulah makna dan nilai kepada satu undi yang anda bakal memangkah Sabtu ini,” ujarnya lagi.- MalaysiaGazette