Isteri bekas Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor tiba di mahkamah bagi mengikuti prosiding kes pengubahan wang haram membabitkan dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB) yang melibatkan suaminya, Datuk Seri Najib Tun Razak di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur. Foto AFFAN FAUZI, 08 DISEMBER 2022.

KUALA LUMPUR – 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dan 10 syarikat lain memfailkan saman terhadap Datin Seri Rosmah Mansor berhubung pembelian barangan mewah berjumlah lebih US$346 juta yang didakwa diperoleh daripada dana 1MDB yang diselewengkan.

Selain 1MDB, saman yang difailkan semalam di Mahkamah Tinggi di sini melalui Tetuan Lim Chee Wee Partnership turut menyenaraikan lima anak syarikatnya iaitu 1MDB Energy Holdings Limited; 1MDB Energy Limited; 1MDB Energy (Langat) Limited; Global Diversified Investment Company Limited dan SRC International Sdn Bhd selaku plaintif pertama hingga keenam.

Lima syarikat lain adalah Affinity Equity International Partners Limited; Alsen Chance Holdings Limited; Blackrock Commodities (Global) Limited; Blackstone Asia Real Estate Partners Limited dan Brightstone Jewellery Limited selaku plaintif ketujuh hingga ke-11.

Kesemua plaintif menamakan Rosmah, yang juga isteri bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dan seorang wanita iaitu Shabnam Naraindas Daswani (juga dikenali sebagai Natasha Mirpuri) sebagai defendan pertama dan kedua.

Dalam tuntutan saman itu, kesemua plaintif mendakwa barangan mewah berkenaan termasuk barang kemas, jam tangan dan beg tangan dibeli atau diperolehi oleh Rosmah atau defendan kedua bukan dengan wang defendan pertama (Rosmah) sendiri tetapi dengan dana yang diseleweng daripada plaintif pertama hingga keenam.

“Dana tersebut disalurkan melalui pelbagai entiti luar pesisir termasuk plaintif ketujuh hingga ke-11 sebelum dibayar kepada 48 vendor berbeza untuk pembelian kesemua barangan mewah ini dan sebanyak 320 bayaran berjumlah US$346,010,489 telah dibuat,” menurut pernyataan tuntutan itu.

Oleh itu, kesemua syarikat itu antara lain menuntut Rosmah membayar US$346,010,489 atau sejumlah amaun yang ditaksirkan oleh mahkamah.

Kesemua plaintif turut memohon perintah agar Shabnam membayar ganti rugi atau pampasan yang akan ditaksirkan kemudian.

Selain itu, plaintif-plaintif turut memohon deklarasi antaranya plaintif pertama hingga keenam mempunyai hak terhadap barangan-barangan mewah tersebut yang kini didakwa berada dalam simpanan Rosmah.

Turut dimohon ialah ganti rugi teruk, teladan, kos dan relif-relif lain yang difikirkan sesuai oleh mahkamah.

Pengurusan kes saman itu ditetapkan pada 24 Mei ini. – Bernama