Nur Aina Damia Ahmad Said sebak mengenangkan kenangan bersama arwah abangnya, Allahyarham Muhamad Syafiq Ahmad Said.

KUANTAN – Bagi adik bongsu kepada anggota polis yang maut ditembak di Balai Polis Ulu Tiram, Nur Aina Damia Ahmad Said – beliau berasa satu kehilangan yang besar.

Bagi Nur Aina, 14, kehilangan yang mengejut Muhamad Syafiq pada mula sukar diterimanya kerana abangnya itu temannya bergaduh dan bermanja selama ini.

Nur Aina merupakan anak bongsu dan akrab dengan abangnya yang merupakan anak ketujuh walaupun perbezaan umur 10 tahun.

”Sebelum ini  kalau dekat rumah tinggal abang dan saya serta emak ayah di rumah sebab yang lain semua sudah kahwin, kami berempat sekarang ini, tiada lagi dia (Muhamad Syafiq).

”Kami rapat sebab saya bongsu perempuan. Syafiq (arwah) bongsu lelaki. Selalu ada apa-apa nak bercakap  memang dengan dia sebab yang lain sudah ada anak ada suami,” katanya hiba ketika ditemui di sini hari ini.

Nur Aina tidak dapat menahan sebak apabila mengenangkan janji terakhir abangnya untuk pulang bercuti pada Hari Raya Aidiladha ini.

Namun nasihat abangnya agar belajar bersunguh-sungguh dan menjaga ibu bapa tersemat di hatinya.

Nur Aina juga menyifatkakan abangya seorang anak yang bertanggungjawab serta mengambil berat terhadap keluarga.

”Terkejut bila dengar Syafiq dah tak ada, sebab masa tu baru balik sekolah, lebih- lebih bila tengok rumah ada ramai polis, mak cik-mak cik. Saya tanya emak, ayah saya tak boleh jawab kenapa sedih.

”Akhirnya saya tanya kakak ipar saya, dia beritahu Syafiq sudah tiada, kena tembak. Saya macam tak boleh terima sebab selama ini saya selalu gaduh dengan dia.

”Kita orang pun dah lama tak jumpa, last hari masa kenduri. Baru ini ada abang call hari jadi emak tanya emak nak makan apa, dia ada belanja pizza untuk semua,” tambahnya ketika ditemui hari ini semasa menantikan ketibaan jenazah abangnya dari Johor.

Dalam insiden di Balai Polis Ulu Tiram semalam, dua pegawai polis maut setelah diserang seorang lelaki bertopeng dan berpakaian gelap menyerang balai polis berkenaan dengan bersenjatakan parang serta merampas dua laras senapang.

BACA: Muhamad Syafiq berhasrat sambung belajar forensik

Serangan Balai Polis Ulu Tiram: 7 individu termasuk warga Singapura direman 7 hari

Agong rakam takziah kepada keluarga mangsa serangan Balai Polis Ulu Tiram

Kedua-dua mangsa, Konstable Muhamad Syafiq Ahmad Said ketika betugas dilaporkan ditembak di bahu dan perut manakala Konstabel Ahmad Azza Fahmi Azhar cedera ditetak di bahagian belakang leher dan kepala.

Manakala seorang lagi anggota yang cedera, Koperal Mohd Hasif Roslan.

Jenazah Muhamad Syafik telah dibawa dari Johor dan akan dikebumikan di tempat kelahirannya di Kuantan pada hari ini dan Ahmad Azza dihantar ke Bidor, Perak. – MalaysiaGazette