Mahkamah Langkawi

KUALA LUMPUR – Lelaki warga Thailand didakwa di Mahkamah Majistret Langkawi atas tuduhan menyeludup pil Methamphetamine dua bulan yang lalu.

Bagaimanapun, tiada pengakuan direkodkan ketika pertuduhan dibacakan terhadap Wirasak Tialek di hadapan Majistret, Nurul Natasha Rizal hari ini.

Berdasarkan pertuduhan, lelaki berusia 41 tahun itu didakwa mengedar dadah jenis methamphetamine di Terminal Feri Langkawi pada 6 Mac di antara jam 2.30 hingga 2.40 petang.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 39B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang juga boleh dihukum mengikut Seksyen 39B(2) akta sama.

Jika sabit kesalahan, lelaki berkenaan boleh dihukum mati atau dipenjarakan seumur hidup berserta sebatan tidak kurang 12 sebatan.

Kes dikendalikan Pegawai Pendakwa Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM), Normaliza Mat Isa.

Manakala tertuduh tidak diwakili peguam.- MalaysiaGazette