Yayasan Guru Malaysia Berhad (YGMB) menjalinkan kerjasama strategi bersama Zurich Takaful Malaysia Berhad bagi menawarkan perlindungan menyeluruh kepada warga pendidik.

PUTRAJAYA – Khusus kepada warga pendidik dan kakitangan Kementerian Pendidikan (KPM), Yayasan Guru Malaysia Berhad (YGMB) dengan kerjasama Zurich Takaful Malaysia Bhd (Zurich Takaful) memperkenalkan produk perlindungan takaful menyeluruh dikenali sebagai Ahli Skim Platinum (ASP).

Ketua Pegawai Eksekutif YGMB, Datuk Wan Munadi Wan Mamat berkata, produk dengan bayaran premium serendah RM79 itu menawarkan pelbagai gabungan manfaat sesuai dengan nilai, keperluan dan aspek kebajikan guru-guru.

ASP diperkenalkan dengan manfaat ditambah baik termasuk menyenaraikan 51 jenis penyakit kritikal berbanding 36 sebelum ini selain bantuan anak istimewa, keguguran dan perkhidmatan ambulans.

Beliau berkata, ASP juga menawarkan pelan perlindungan komprehensif terhadap kematian, keilatan menyeluruh dan kekal, penyakit kritikal, perbelanjaan perubatan dengan nilai maksimum sehingga RM132,000.

“Secara amnya, ASP sesuai dengan peredaran masa dan ekonomi ketika ini di mana nilai manfaat diberikan amatlah bertepatan dan berpatutan dengan yuran keahlian yang dikenakan,” katanya selepas majlis menandatangani memorandum persefahaman (MoU) antara YGMB dan Zurich Takaful di sini semalam.

Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Guru Malaysia Berhad (YGMB), Datuk Wan Munadi Wan Mamat dan Wakil Sah Zurich Takaful Malaysia Berhad, Nur Fatihah Mustafa menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) bagi produk Skim Platinum dalam satu majlis di Putrajaya semalam.

Menurut Wan Munadi, YGMB terus komited memberikan perkhidmatan yang terbaik untuk 120,000 ahli di seluruh negara menerusi pelbagai kemudahan dan manfaat lain pada masa akan datang.

Majlis mendatangani MoU disempurnakan Wan Munadi mewakili YGMB manakala Zurich Takaful diwakili Nur Fatihah Mustafa dan disaksikan oleh Pengerusi YGMB, Aminudin Adam.

Sejak penubuhan YGMB pada tahun 1994 sehingga kini, pihaknya telah membuat bayaran tuntutan manfaat kesemua kategori lebih RM22 juta.

Wan Munadi berkata, pihaknya menyasarkan dapat meningkatkan jumlah keahlian antara 40 hingga 50 peratus daripada keseluruhan 450,000 warga pendidik di seluruh negara dalam tempoh lima ke enam tahun lagi.

Pihaknya berharap sasaran keahlian itu dapat dicapai lebih cepat menerusi kerjasama strategik dengan Zurich Takaful ini.

Sementara itu, Nur Fatihah berkata, kerjasama dengan YGMB penting bagi meneroka rangkaian produk perlindungan takaful dalam sektor perkhidmatan awam. – MalaysiaGazette