Jason (kanan) melihat pasukan Arborist menggunakan Piscus Sonic Tomograp dan Resistograph untuk mengenal pasti tahap pereputan dalam batang pokok di Jalan Macalister, Pulau Pinang hari ini.

GEORGE TOWN – Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) dijangka siap melaksanakan penilaian risiko ke atas 1,195 pokok di sekitar bahagian pulau negeri ini pada penghujung Jun depan.

Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan dan Perancangan Bandar dan Desa Negeri, Jason H’ng Mooi Lye berkata, setakat ini MBPP telah selesai melaksanakan penilaian risiko ke atas 561 pokok.

Katanya, MBPP juga melantik kontraktor yang juga pakar dalam kerja penilaian risiko dan penyelenggaraan di lima laluan iaitu Jalan Macalister, Jalan Utama, Jalan Burmah, Jalan Kelawai dan Jalan Perak.

Selain itu, jelas beliau, untuk tahun ini, lapan daripada 23 pokok yang dikenal pasti berisiko sudah ditebang manakala bakinya akan dilaksanakan dalam masa terdekat menerusi pelantikan kontraktor luar dan secara dalaman.

Jason.

“Saya sudah mengarahkan MBPP dan Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP) mengemukakan laporan siasatan serta pemantauan terhadap pokok besar, berusia dan berbahaya susulan kejadian pokok tumbang ketika hujan lebat baru-baru ini.

“Berdasarkan semakan awal, sebanyak 131 pokok dikategorikan sebagai tidak sihat dan perlu dilaksanakan risiko pokok tahap ketiga.

“Dalam kawasan pentadbiran MBPP, terdapat sebanyak 314 pokok besar berusia lebih 90 tahun masih berdiri megah dan pemeriksaan struktur dalaman batang pokok perlu dilakukan supaya keselamatan awam terjamin,” katanya kepada media di Jalan Macalister di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Jason berkata, dianggarkan sebanyak 40,000 pokok di bawah pentadbiran MBPP dan pihak majlis sudah mewujudkan sistem Penang Tree Inventory System (PeTIS) bagi menyimpan data inventori seperti jenis pokok, lokasi, saiz, status kesihatan dan keperluan penyelenggaraan.

“Menerusi sistem itu ia dapat meningkatkan keberkesanan pengurusan pokok dengan mengenalpasti koordinat dan spesis yang berpotensi besar untuk patah atau tumbang sekali gus mengambil tindakan bersasar dengan segera.

“Sebanyak 15,848 pokok di tepi jalan serta tanah lapang yang mempunyai ukur lilit 0.8 meter dan ke atas sudah diinventori selain menjalankan kerja penyelenggaraan pokok secara berkala mengikut teknik amalan arborikultur.

“Manakala di bawah pentadbiran MBSP, Mooi Lye berkata terdapat 115,706 pokok teduhan dengan 96,586 daripadanya sudah dijalankan pemeriksaan dan penandaan di tapak,” katanya. – MalaysiaGazette