Krishh Haran Nair yang sebelum ini pernah menjadi tumpuan kerana berjaya menghasilkan dua buah buku hasil imaginasinya kini tampil menjadi penderma kepada golongan memerlukan seperti gelandangan.

KUALA LUMPUR – Baru berusia 11 tahun namun sifat dermawan seorang kanak-kanak, Krishh Haran Nair sungguh menakjubkan.

Krishh Haran Nair yang sebelum ini pernah menjadi tumpuan kerana berjaya menghasilkan dua buah buku hasil imaginasinya kini tampil menjadi penderma kepada golongan memerlukan seperti gelandangan.

Kanak-kanak itu yang mendapat wang saku daripada ibu bapanya, Ramakrishnan Nair dan Jayanthimarlin setiap minggu sebanyak RM20 namun ia digunakan untuk membeli makanan untuk golongan miskin sekitar Johor.

Bercakap kepada MalaysiaGazette, Krishh yang merupakan pelajar Sunway International Iskandar Johor mengakui teruja apabila dapat membantu sesiapa sahaja yang memerlukan.

“Saya akan dapat wang saku sebanyak RM20, jika saya buat kerja rumah dapat juga tunai tambahan daripada emak dan ayah. Pada saya, wang itu amat berharga kerana saya hendak menderma dengan cara memberikan makanan bagi golongan memerlukan.

“Sejak kecil saya telah diajar untuk sentiasa memberi kerana segala keperluan saya cukup dan sentiasa disediakan oleh emak ayah saya. Hati saya jadi sangat gembira apabila lakukan kebajikan seperti ini.

“Selalunya saya dapat berikan makanan kepada 20 hingga 50 orang, sudah tentu emak ayah bantu saya juga. Apabila saya beri makanan kepada mereka (golongan memerlukan), ucapan terima kasih amat bermakna kepada saya,” katanya.

Kata Krishh lagi, jika diberikan peluang, amal kebajikan ini akan diteruskan selagi yang boleh.

Sebelum ini, Krishh pernah berjaya mendapat lebih RM28,000 melalui kutipan jualan dua buku bertajuk Mysterious War in the Deep dan Pillar And The Golden Sword dan setiap sen daripada dana itu telah disalurkan kepada Yayasan Sinar Ilmu Jaya (YSIJ).

Krishh Haran menabung wang belanja harian bagi tujuan membantu golongan memerlukan.

 

Ini sekaligus menjadikannya diiktiraf Malaysia Book of Records sebagai kanak-kanak pertama mencatatkan jualan tertinggi yang menyumbang melalui jualan amal.

Ketika itu era pandemik Covid-19, sumbangan Krishh juga mendapat perkenan Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar yang menghantar wakil Mejar Cina, Datuk David Wong bagi pihak istana untuk berjumpa keluarganya.

Sultan Ibrahim menerusi satu hantaran di Facebook berkata, Krishh adalah penderma termuda YSIJ.

Baginda turut berkenan merakamkan penghargaan kepada Krishh dan memuji kedua-dua ibu bapanya. – MalaysiaGazette

ARTIKEL BERKAITAN:

Krishh Haran teruja siapkan buku ketiga