Shahrulufti Sharif

KUALA LUMPUR – Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (Putra) mendesak kerajaan memberikan bantuan bersasar terutama kepada golongan B40
daripada RM200 kepada RM400 susulan kenaikan Harga diesel yang bermula hari ini.

Ketua Penerangannya, Shahrulufti Sharif berkata, kenaikan harga diesel sebanyak RM3.35 seliter pasti membebankan rakyat terutama golongan B40 yang menggunakan kenderaan diesel.

Malah katanya, kenaikan harga bahan api itu akan turut menjejaskan kesejahteraan rakyat kerana harga barangan keperluan akan meningkat dan ia juga memberi kesan kepada golongan M40.

“Pengusaha dan pengilang yang terkesan dengan kenaikan kos diesel akan menaikkan harga barang keluaran mereka.

“Adakah cukup dengan pemberian tunai RM200 sebulan kepada golongan bersasar?

“Kenaikan RM2.15 kepada RM3.35 jauh daripada mencukupi jika sekadar RM200 sebulan. Kiraan atas 80 liter setiap kali isi minyak diesel dah hampir RM300. Gila dibuatnya rakyat nanti,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurut Shahrulufti lagi, jika kerajaan dapat menjimatkan RM4 bilion selepas subsidi ditarik, maka sekiranya ditambah bantuan tunai bulanan kepada RM400, adakah jumlahnya besar dengan penjimatan hasil daripada penarikan subsidi itu.

“Dulu Pakatan Harapan terutama PMX (Datuk Seri Anwar Ibrahim) janji minyak turun jika beliau jadi Perdana Menteri.

“Tidak disebut untuk menarik subsidi dan meriam kapur Rafizi melolong sana sini jangan cari beliau jika subsidi dimansuhkan. Sekarang muka tak malu betul. Sudah jadi badut PH,” sindirnya.

Tambah beliau, bantuan yang disalurkan harus merangkumi segala kos yang terkesan oleh kenaikan harga diesel tanpa dipengaruhi oleh unsur politik demi memastikan keadilan sejati bagi kesejahteraan semua lapisan masyarakat.

Justeru katanya, penekanan pelaksanaan bersasar yang berkesan perlu menekankan pelaksanaan bantuan secara telus, adil, dan efektif tanpa sebarang pilih kasih atas dasar politik.

“Setiap rakyat yang layak menerima bantuan harus mendapatkannya dengan lancar tanpa sebarang gangguan atau diskriminasi.

“Parti Putra komited untuk terus berjuang demi kepentingan rakyat dan keadilan dalam masyarakat, memperjuangkan kemajuan dan kesejahteraan bersama,” jelasnya. – MalaysiaGazette