Setiausaha Persatuan Kemanusiaan Masyarakat Antarabangsa Malaysia (MHO), Datuk Hishamuddin Hashim bersam ahli keluarga mangsa.

KUALA LUMPUR – Padah menipu ahli keluarga kononnya mendapat pekerjaan menghantar sayur ke Pulau Pinang, seorang lelaki gagal dihubungi sehingga kini dikhuatiri menjadi tebusan sindiket pemerdagangan di Myamar.

Abang mangsa, yang enggan dikenali berkata, kali terakhir keluarganya yang berada di Kuala Kangsar dihubungi mangsa yang berusia 30 tahun itu pada pada 13 Jun lalu.

Kemudian pada 14 jun, rumahnya telah didatangi seorang wanita mengaku sebagai teman wanita mangsa dan memaklumkan anak kedua daripada tiga beradik itu sebenarnya ke Bangkok, Thailand.

Mereka sekeluarga yang tidak mengenali wanita itu dan hanya mempercayai kata-katanya selepas dia menunjukkan bukti perbualan antara mereka berdua dan beberapa keping gambar serta tangkap layar tiket kapal terbang.

“Teman wanita Chan bagi tahu kami sekeluarga bahawa dia tidak dapat hubungi adik saya selepas tiba di Thailand dan adik bagi tahu dengan dia, sebenarnya pergi ke Kuala Lumpur untuk bekerja.

“Adik ada hubungi teman wanita dia dengan berkongsi gambar tiket pergi ke Thailand, menghantar pin lokasi di sebatang sungai (sempadan Thailand-Myanmar) serta memaklumkan dia disuruh untuk ke sungai itu.

“Teman wanita juga bagi tahu adik saya akan dibawa menaiki sebuah kereta pacuan empat roda selepas mendarat di Thailand dan diminta menyeberang ke Myanmar, kemudian panggilan itu diputuskan.

“Selepas daripada itu panggilan itu, teman wanita adik dan kami sekeluarga tidak menerima sebarang panggilan daripadanya sehingga hari ini dan kami telah membuat laporan polis pada14 Jun lalu.

“Adik cuma beritahu pada ibu yang dia ke Pulau Pinang untuk bekerja mengangkut sayur-sayuran. Jadi kami pun tidak syak apa-apa yang pelik,” katanya pada sidang media di Pejabat Persatuan Kemanusiaan Masyarakat Antarabangsa Malaysia (MHO), di sini hari ini.

Abang mangsa, yang enggan dikenali berusia 33 tahun.

Tambahnya lagi, mereka sekeluarga tidak mengetahui berkenaan perancangan mangsa untuk bekerja ke Thailand malah mangsa tidak mempunyai sebarang masalah kewangan yang diketahuinya.

Sementara itu, Datuk Hishamuddin Hashim berkata, berasa kesal apabila masih ramai rakyat Malaysia terutama golongan belia menjadi mangsa sindiket walapun pelbagai pendedahan berkenaan tipu helah sindiket telah dihebahkan di media massa.

Setiausaha Agung MHO itu menambah, mereka sering menggunakan modus operandi dengan ‘perah’ wang tebusan daripada keluarga, untuk sindiket pemerdagangan manusia yang bermaharajalela di Myanmar dan Kemboja.

“Kepada ahli keluarga jika terima panggilan daripada mangsa (yang menjadi tebusan) beritahu dengan jelas yang keluarga tidak akan bayar wang tebusan.

“Kerana jika dibayar potensi lebih tinggi untuk mangsa dikurung lebih lama. Pihak sindiket akan ‘simpan’ mangsa untuk dapatkan bayaran.

“Lebih banyak bayaran yang mereka dapat lebih lama mereka pegang. Jangan setuju dengan apa-apa bayaran sekalipun,” jelasnya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast