Antara ahli sindiket pemerdagangan orang yang terlibat jenayah aktiviti eksploitasi buruh paksa diberkas dalam operasi serentak di seluruh negara 12 Jun lalu. Ihsan JSJ Bukit Aman

KUALA LUMPUR – Seramai 113 individu yang disyaki terbabit dalam aktiviti jenayah pemerdagangan manusia mengeksploitasi buruh paksa ditahan dalam Operasi Pintas Mega yang dijalankan di seluruh negara pada 12 Jun lalu.

Timbalan Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (Risikan/Operasi), Deputi Komisioner Fadil Marsus berkata, operasi Bahagian D3 Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, berkoordinasi dengan kesemua 14 Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) di seluruh negara itu turut berjaya menyelamatkan seramai 73 mangsa pemerdagangan orang termasuk tiga orang kelainan upaya (OKU).

Kesemua mereka ditahan dan diselamatkan menerusi sebanyak 33 serbuan yang dijalankan secara serentak dan bersepadu dengan kerjasama agensi penguatkuasaan lain termasuk Kementerian Dalam Negeri (KDN), Majlis Antipemerdagangan Orang (MAPO), Jabatan Imigresen Malaysia (JIM), Jabatan Tenaga Kerja (JTK) dan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT), Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) serta Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN).

“Fokus kita dalam operasi ini adalah untuk mengenal pasti mangsa pemerdagangan orang (eksploitasi buruh paksa) dalam kalangan golongan rentan (yang mudah diperdaya) dengan berpandukan National Guideline On Human Trafficking Indicators (NGHTI) 2.0.

“Daripada 113 individu yang ditahan itu, terdapat juga ahli sindiket serta individu yang terdiri daripada warga tempatan, warga asing dari Thailand, India, Bangladesh, Indonesia dan China.

DCP Fadil Marsus

“Sementara itu, kesemua mangsa yang diselamatkan dalam operasi itu terdiri daripada 25 lelaki, 26 wanita dan 22 kanak-kanak warga tempatan, Filipina, Indonesia, Bangladesh, Kemboja, Myanmar dan Thailand,” katanya pada sidang media di Bukit Amanchari ini.

Tambah Fadil, JSJ memandang serius ke atas aktiviti jenayah pemerdagangan orang di negara ini dan tindakan tegas akan diambil ke atas mana-mana individu dan kumpulan yang dikesan terlibat.

Kesemua individu yang ditahan itu sedang disiasat di bawah Seksyen 12 dan 14 Akta Pemerdagangan Orang dan Penyeludupan Migran (ATIPSOM) 2007; Seksyen 55B, Seksyen 6(1)(C) Akta Imigresen dan Peraturan-Peraturan Imigresen 1963.

“Pada masa sama, polis turut menagih kerjasama masyarakat sekiranya mempunyai sebarang maklumat tentang jenayah aktiviti pemerdagangan orang dan sebarang maklumat boleh disalurkan kepada mana-mana balai polis berhampiran di seluruh negara,” katanya.

Antara ahli sindiket pemerdagangan orang yang terlibat jenayah aktiviti eksploitasi buruh paksa diberkas dalam operasi serentak di seluruh negara 12 Jun lalu. Ihsan JSJ Bukit Aman

Mangsa pemerdagangan manusia di negara ini terdiri daripada golongan rentan atau yang mudah diperdaya seperti warga emas, wanita, OKU dan kanak-kanak.

“Terdapat pelbagai jenis bentuk eksploitasi dilakukan terhadap golongan ini antaranya adalah mereka (mangsa) terikat dengan hutang terhadap individu atau ejen yang memperdayakan mereka di negara ini selain turut diperdayakan oleh ejen atau sindiket di negara asal mereka.

“Golongan ini sebaik tiba di Malaysia dijanjikan pekerjaan yang menjanjikan pulangan lumayan sebaliknya akan dipaksa menjadi buruh paksa, jadi pengemis dan peminta sedekah dan hamba seks.

“Mereka juga tidak dibenarkan bertemu orang lain, dikurung di tempat kerja serta tinggal di tempat yang tidak kondusif,” katanya.

Malah ada dalam kalangan mangsa ini turut diancam dengan pelbagai ugutan dan ancaman sama ada daripada majikan, ejen atau penjaga mereka termasuk akan dicederakan sekiranya tidak melakukan apa sahaja yang diarahkan. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast