KUALA LUMPUR – Sebuah kenderaan pacuan empat roda jenis Toyota Hilux dikesan melanggar lampu isyarat di daerah Petaling Jaya, Selangor yang tular di media sosial.
Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Shahrulnizam Jaafar@Ismail berkata, video tular itu dikesan dimuat naik pemilk akaun Facebook Sinar Lagenda sekitar jam 9 pagi tadi.
“Siasatan awal mendapati, pacuan empat roda itu telah melakukan kesalahan dengan membelok di kawasan yang tidak dibenarkan.
“Bagaimanapun, kejadian itu tidak menyebabkan kemalangan serta kecederaan kepada pemandu terbabit dan pengguna jalan raya yang lain,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Tambah beliau, siasatan akan dijalankan di bawah Seksyen79 (2) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
“Pemilik rakaman video itu diminta untuk tampil ke Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Petaling Jaya atau menghubungi Pegawai Penyiasat Trafik, Inspektor Mohamad Khairil Helmi Mohamad Isa di talian 019-3318339.
“Polis juga mengingatkan orang ramai tidak membuat sebarang spekulasi yang boleh menimbulkan sebarang kegusaran awam serta memohon semua pengguna jalan raya agar sentiasa mematuhi undang-undang bagi mengelakkan sebarang kejadian kemalangan,” ujarnya. – MalaysiaGazette
Video Berkaitan