Penguat kuasa JAINJ melakukan serbuan dan menahan dua lelaki dan dua tukang urut wanita asing di rumah urut di Masai, Johor Bahru, hari ini

JOHOR BAHRU – Sambutan Hari Malaysia dicemari kegiatan tidak bermoral apabila dua lelaki bersama-sama dua tukang urut wanita Indonesia diberkas pihak Jabatan Agama Islam Negeri Johor (JAINJ) dalam serbuan di Masai di sini malam tadi.

JAINJ memaklumkan operasi bersepadu itu yang turut disertai 30 penguat kuasa Majlis Bandaraya Pasir Gudang (MBPG) dilakukan di sebuah kedai urut pukul 9.45 malam sempena cuti umum.

“Tiba di lokasi rumah kedai tiga tingkat ini, penguat kuasa JAINJ dan MBPG berpecah kepada tiga kumpulan iaitu ke tingkat satu, dua dan tiga untuk melakukan pemeriksaan dari bilik ke bilik.

“Di tingkat dua, penguat kuasa mendapati sebuah bilik tertutup dan berkunci dari dalam sebelum ketuk pintu dan dibuka 2 minit kemudian oleh seorang wanita yang memakai tuala coklat dan berkemban,” jelas JAINJ dalam satu kenyataan.

Menurut JAINJ, pemeriksaan mendapati bilik kelihatan samar-samar sebelum keluar seorang lelaki bercermin mata yang hanya memakai tuala coklat dengan tidak memakai baju.

Kedua-duanya kelihatan terkejut dan terdiam melihat ramai penguat kuasa, pemeriksaan dalam bilik mendapati pakaian lelaki tergantung di dinding manakala katil kelamin berkembur.

Siasatan mendapati suspek lelaki berumur 20-an berstatus suami orang, mempunyai dua anak, berkelulusan tinggi dan mempunyai kerja yang baik di Johor Bahru.

Wanita pula berusia 20-an berasal Indonesia, mengaku sebagai anak dara dan bekerja sebagai tukang urut di situ.

Sementara di tingkat tiga, penguat kuasa mengetuk satu bilik yang berkunci dari dalam sebelum mengetuk pintu selama 10 minit namun masih tidak dibuka seolah-olah tiada penghuni di dalamnya.

“Penguat kuasa rasa ada orang di dalam. Akhirnya pintu dapat dibuka menggunakan kunci pendua. Bilik kelihatan samar-samar dan aircond terpasang. Penguat kuasa seterusnya menemui seorang lelaki dan seorang wanita.

“Lelaki ini memakai t-shirt dan seluar panjang manakala wanita memakai satu baju seksi yang nampak perut dan skirt senteng. Keadaan katil kelamin berkecah dengan cadar dan selimut berkembur serta bantal berterabur.”

Lelaki berkenaan berstatus bujang, berumur 30-an dan bekerja di Pasir Gudang manakala wanita pula berumur 20-an, warganegara Indonesia mengaku masih anak dara dan bekerja sebagai tukang urut.

JAINJ memberitahu, hasil maklumat, tempat itu menjalankan perkhidmatan urut dalam bilik tertutup dengan bayaran RM260 untuk sekali urutan selama satu jam sementara perkhidmatan ‘tambahan’ akan dikenakan RM100.

Tambah JAINJ, dua pasangan tersebut ditahan atas kesalahan khalwat mengikut Seksyen 27 Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah Negeri Johor.

Penguat kuasa MBPG turut mengambil tindakan tegas terhadap peniaga premis berkenaan.- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here