GEORGE TOWN – Empat stesen pemantauan kualiti udara di Pulau Pinang merekodkan bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) pada tahap tidak sihat sehingga pukul 11 pagi hari ini.
Exco Perumahan dan Alam Sekitar Pulau Pinang, Datuk Seri S.Sundarajoo berkata, berdasarkan pemantauan melalui sistem Air Pollutant Index Management System (APIMS), Jabatan Alam Sekitar (JAS), stesen Minden merekodkan bacaan IPU 167, Balik Pulau (164), Seberang Jaya (162) dan Seberang Perai (160).
“Kita memberi perhatian kepada semua stesen di negeri ini kerana menunjukkan tahap bacaan IPU tidak sihat.
“Stesen Minden dan Balik Pulau menunjukkan trend bacaan IPU tidak sihat dalam tempoh 24 jam manakala bagi Stesen Seberang Jaya dan Seberang Perai menunjukkan peningkatan bacaan IPU daripada sederhana ke tahap tidak sihat,” katanya dalam kenyataan media hari ini.
Mengulas lanjut Sundarajoo berkata, Kerajaan Negeri melalui agensi berkaitan akan terus memantau perkembangan kualiti udara secara berterusan dan berhubung dengan JAS bagi mendapatkan maklumat serta penilaian terkini mengenai keadaan semasa.

Kata beliau, JAS turut memantau bacaan IPU, titik panas dan perkembangan jerebu rentas sempadan, dengan mengambil kira maklumat meteorologi sebagai input dalam penilaian situasi serta penyelarasan tindakan pengurusan jerebu di peringkat daerah, negeri dan kebangsaan.
“Dalam konteks kawalan pencemaran udara, JAS akan terus memberi perhatian terhadap sebarang aktiviti pembakaran terbuka dan kejadian kebakaran yang berpotensi menyumbang kepada kemerosotan kualiti udara.
“Pemantauan telah dipertingkatkan bagi mengurangkan pencemaran udara, manakala tindakan sewajarnya akan diambil mengikut bidang kuasa dan peruntukan undang-undang yang berkuat kuasa bagi meminimumkan kesan terhadap alam sekitar dan kesihatan awam,”.
“Kempen larangan pembakaran terbuka turut dipergiatkan melalui hebahan di institusi pendidikan, komuniti, sektor industri dan juga agensi kerajaan. Jadi ramai turut diseru supaya segera melaporkan sebarang kejadian pembakaran terbuka kepada pihak berkuasa berkaitan,” katanya.
Sehubungan itu, beliau menasihatkan orang ramai dinasihatkan supaya tidak panik, namun mengambil langkah berjaga-jaga, khususnya di kawasan yang mencatatkan bacaan IPU pada tahap tidak sihat.
Katanya, golongan yang lebih terdedah kepada kesan pencemaran udara seperti kanak-kanak, warga emas, wanita mengandung serta individu yang mempunyai masalah kesihatan berkaitan pernafasan dinasihatkan supaya mengurangkan aktiviti fizikal berat atau berpanjangan di kawasan terbuka.
“Orang ramai yang mengalami simptom seperti batuk, kesukaran bernafas, ketidakselesaan pada dada, sakit tekak atau iritasi mata dinasihatkan untuk mengurangkan pendedahan kepada udara luar dan mendapatkan nasihat serta rawatan daripada kemudahan kesihatan sekiranya keadaan berterusan atau bertambah serius.
“Kerajaan Negeri akan memaklumkan sebarang perkembangan penting kepada orang ramai dari semasa ke semasa berdasarkan maklumat dan penilaian daripada pihak berkuasa yang berkaitan,” katanya. – MalaysiaGazette
















