Tun Dr. Mahathir Mohamad.

KUALA LUMPUR – Mahkamah Tinggi di sini dimaklumkan bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad tidak dapat hadir ke perbicaraan saman fitnah beliau terhadap Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi, hari ini.

Peguam yang mewakili Dr. Mahathir, Mior Nor Haidir Suhaimi berkata, Mahathir tidak dibenarkan keluar daripada Institut Jantung Negara (IJN) dan telah diberikan sijil sakit oleh pusat kardiologi itu.

“Beliau masih lagi menerima rawatan dan tidak dibenarkan keluar sekaligus hadir ke prosiding hari ini,” katanya di hadapan Pesuruhjaya Kehakiman, Gan Techiong.

Mior berkata, Dr. Mahathir tidak sihat selepas pulang dari London pada 14 Julai lepas kerana mengalami masalah pernafasan sehingga terpaksa dimasukkan ke IJN pada hari seterusnya.

“Pada 16 Julai lepas, IJN keluarkan surat yang menyatakan permasalahan Tun selain dimaklumkan beliau tidak dibenarkan keluar dari pusat itu kerana mereka masih merawatnya,” katanya.

Peguam itu juga memohon tarikh baharu bagi prosiding berikutannya.

Hakim kemudian melapangkan tarikh perbicaraan pada hari ini dan menangguhkan perbicaraan kepada 26 dan 27 Ogos ini, dan 29 serta 30 Oktober ini.

Bagaimanapun ketika memberikan tarikh-tarikh itu, kata Techiong, beliau berharap Dr. Mahathir tidak akan ke luar negara ketika hampir dengan masa prosiding.

“Mahkamah tidak meragui masalah kesihatan Tun Mahathir kerana beliau sudah berusia dan pastinya keadaan kesihatan tidak menentu.

“Tetapi kita nasihatkan supaya beliau tidak ke luar negara ketika menjelangnya tarikh-tarikh perbicaraan,” katanya.

Dalam pada itu, Techiong juga memutuskan andainya Dr. Mahathir tidak sihat pada tarikh prosiding berikutnya, maka saksi plaintif kedua, iaitu Datuk Seri Mukhriz Mahathir boleh memberikan keterangan dahulu.

Ketika ini, Tun Mahathir sedang menyaman Presiden UMNO, Ahmad Zahid kerana didakwa mengeluarkan kenyataan palsu, berbaur fitnah dan berniat jahat dengan sengaja merujuk terus kepadanya ketika Mesyuarat UMNO Bahagian Kelana Jaya pada 30 Julai 2017.

Dr Mahathir berkata, beliau percaya dengan sesungguhnya individu dirujuk defendan dalam kenyataan fitnah sebagai ‘orang itu’, ‘dia’ dan ‘Mahathir anak lelaki Iskandar Kutty’ jelas merujuk kepadanya secara spesifik.

Jelas Tun Mahathir, Ahmad Zahid berniat jahat dengan mengeluarkan kenyataan fitnah itu kerana tidak puas hati dan selain mahu beliau dibenci oleh masyarakat.

Susulan itu, beliau berkata, kedudukannya sebagai seorang negarawan dan tokoh politik yang berpengaruh di mata dunia dipandang serong.

Katanya, fitnah Ahmad Zahid secara tersirat memberi maksud kredibilitinya untuk memimpin negara dan parti yang mengutamakan orang Melayu secara keseluruhan dipersoal dan diragui. – MalaysiaGazette