Gambar hiasan.

SUBANG – Polis sedang memburu seorang lelaki yang disyaki memecahkan cermin belakang sebuah kereta Perodua Myvi milik seorang jurubahasa dengan membaling batu di Subang Jaya, Selangor pada 14 Julai lalu.

Ketua Polis Daerah Subang Jaya, Asisten Komisioner Wan Azlan Wan Mamat berkata, siasatan mendapati dalam kejadian jam 10.40 pagi, pengadu yang merupakan seorang wanita sedang memandu diekori seorang lelaki yang menunggang sebuah motorsikal.

“Semasa pengadu membelok ke kanan di persimpangan Jalan Jengka SS17 Subang Jaya, dia terdengar bunyi hentakan kuat di bahagian belakang kenderannya.

“Pengadu menghentikan kenderaan di tepi jalan sebelum pemeriksaan mendapati cermin belakang keretanya telah pecah dan mengalami kerugian lebih kurang RM400,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Menurut Wan Azlan, semasa kejadian pengadu yang berusia 42 tahun itu berada di dalam kenderaan bersama suaminya.

“Pengadu dan suaminya tidak mempunyai sebarang masalah dengan mana-mana pihak dan pengadu juga tidak mengenali suspek yang mengekorinya yang kemudian dilihat pada kamera dash cam yang dipasang di bahagian belakang kenderaannya,” ujarnya.

Tambah beliau, kes disiasat di bawah Seksyen 427 Kanun Keseksaan dan jika sabit kesalahan boleh dihukum penjara selama tempoh tidak kurang daripada setahun dan tidak lebih daripada lima tahun atau dengan denda atau dengan kedua-keduanya.

Orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kejadian tersebut diminta menyalurkannya dengan menghubungi Pegawai Penyiasat, Asisten Superintendan Polis Ahmad Faizal Shaikh Ab Rahim di talian 019-7506606 atau balai polis berhampiran. -MalaysiaGazette