KUANTAN – Suasana menyambut Hari Kemerdekaan di sini semalam kecoh apabila tular video seorang wanita mengandung seakan hendak bersalin di kawasan perarakan.

Dalam video berdurasi satu minit itu, seorang wanita berbaju merah jambu kelihatan tidak bermaya dipapah oleh suaminya dan dibantu seorang anggota polis wanita dibawa keluar dari ruang tempat pengunjung di Jalan Mahkota di sini semasa perarakan sambutan Hari Kebangsaan Peringkat Negeri Pahang.

Admin Kuantan Best ketika dihubungi MalaysiaGazette memaklumkan video tersebut telah menimbulkan pelbagai reaksi positif daripada pihak pengunjung.

”Rata-rata komen mendoakan kesejahteraan wanita berbadan dua itu dan mendokan agar dipermudahkan urusan. Tidak kurang netizen memuji semangat patriotisme wanita itu yang sanggup menyaksikan upacara perarakan walaupun kelihatan sarat,” katanya.

Pihak pentadbir media sosial itu menyangkal tuduhan kononnya suami wanita berkenaan sengaja mengaibkan kondisi isterinya.

Katanya, susulan insiden yang mencuri perhatian ramai itu, wanita berkenaan dibawa ke Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) untuk menerima rawatan lanjut.

Perkara tersebut turut dikongsi dalam pautan Facebook JSJ (Jabatan Siasatan Jenayah) Pahang yang menyatakan keprihatinan  polis membantu wanita berkenaan.

Ketua Polis Daerah Kuantan, Asisten Komisioner Wan Mohd Zahari Wan Busu

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kuantan, Asisten Komisioner Wan Mohd Zahari Wan Busu mengesahkan satu laporan polis dibuat oleh suami berkenaan menafikan  isterinya sudah sampai waktu bersalin semalam.

”Suami wanita berkenaan ada membuat laporan penafian isterinya mahu bersalin kerana kandungan isterinya baru empat bulan,” katanya. – MalaysiaGazette