Khairul Aming bersalam dengan Perdana Menteri New Zealand Christopher Luxon

KUALA LUMPUR – Usahawan dan selebriti makanan Khairu Aaming membuktikan dia kini bertaraf antarabangsa selepas Perdana Menteri New Zealand, Christopher Luxon meluangkan masa bertemunya hari ini.

Dalam perkongsian di X, pempengaruh media sosial dengan nama sebenarnya Khairul Amin Kamarulzaman, 32, berkata, Luxon melawatnya di Restoran Hidang di ibu negara.

Jelas Khairul Aming, Luxon bertemunya sebagai tanda penghargaan daripada pihak New Zealand berikutan produksi video masak yang dibuat di negara itu baru-baru ini.

Beliau yang teruja dengan kehadiran Perdana Menteri New Zealands berkata, usaha yang bersungguh-sungguh pasti akan membuahkan kejayaan.

“Lapan tahun lalu, saya merakam video memasak pertama saya sambil duduk di atas lantai.

“Hari ini, saya mendapat keistimewaan untuk duduk di sebelah Perdana Menteri sebuah negara yang terkenal. Teruskan usaha, anda akan kagum di mana kehidupan boleh membawa anda,” katanya.

Lengkap berpakaian Baju Melayu Teluk Belanga, bersamping dan bersongkok Khairul Aming meraikan kehdairan Luxon dengan demonstrasi masakan Malaysia selain makan bersama-sama dengan Perdana Menteri New Zeland tersebut.

Bagaikan duta pelancongan, Khairul Aming turut berbincara mengenai potensi perdagangan dan pelancongan antara Malaysia dan New Zealand.

“Saya mengambil kesempatan untuk memperkenalkan beliau kepada sarapan pagi Malaysia sambil bertukar pendapat mengenai pertukaran pelancongan antara Malaysia dan New Zealand, perdagangan eksport daging dan tenusu halal, pemeliharaan alam semula jadi dan potensi eksport produk PKS tempatan ke New Zealand,” katanya.

Luxon tiba di Malaysia Ahad lalu bagi lawatan rasmi tiga hari dan ia merupakan lawatan pertama Luxon ke Malaysia sejak memegang jawatan Perdana Menteri pada November 2023.

Luxon diberikan majlis sambutan rasmi di Kompleks Perdana Putra, Putrajaya, diikuti pertemuan dua hala dengan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Kedua-dua pemimpin membincangkan isu berkaitan hubungan dan kerjasama dua hala di bawah Perkongsian Strategik Malaysia-New Zealand yang dimeterai pada 2023, merangkumi empat tonggak: Kemakmuran, Rakyat, Planet, serta Keamanan dan Keselamatan. – MalaysiaGazette