KLANG – Seramai 1,847 peserta daripada 128 buah sekolah menyertai pertandingan Malaysia Techlympics 2024 Peringkat Zon Tengah dari Selangor, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya, kali ini.
Kesemua peserta berentap bagi melayakkan diri ke Peringkat Akhir Kebangsaan yang akan berlangsung di Putrajaya, November ini.
Menteri, Sains, Teknologi dan Inovasi, Chang Lih Kang berkata, pertandingan tersebut sebagai bukti konsisten dan komitmen pihaknya untuk membudayakan Sains, Teknologi dan Inovasi (STI) dalam kehidupan rakyat Malaysia khususnya dalam kalangan murid, pelajar serta belia.
“Pelaksanaan Malaysia Techlympics ini adalah selaras dengan Pelan Tindakan Dasar Sains, Teknologi dan Inovasi Negara (DSTIN) 2021 -2030 yang menekankan pelaksanaan pelbagai inisiatif pembudayaan STI secara bersepadu, konsisten dan inklusif seterusnya meningkatkan kesedaran dalam kalangan rakyat Malaysia.
“Matlamat dan objektif utama penganjuran Malaysia Techlympics adalah memupuk pembudayaan STI kepada kumpulan sasar melalui pendekatan hands-on dan tidak formal serta melalui kaedah experiential learning dan pertandingan melibatkan pelajar dan belia di semua peringkat umur, jantina dan bangsa,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis penutupan pertandingan tersebut yang disempurnakan oleh Menteri Besar Selangor, Datuk Amirudin Shari.
Menurut Lih Kang, aspek teknologi terkini seperti kecerdasan buatan (AI), pengekodan, pengkomputeran, dron dan banyak lagi merupakan wadah dan pendedahan awal bagi para pelajar dan belia bagi berhadapan dengan kepesatan kemajuan teknologi.
“MOSTI berpandangan bahawa program seumpama ini adalah penting untuk memberi pendedahan kepada para peserta khususnya berhubung teknologi-teknologi terkini.
“Kemahiran dan pengetahuan yang diperoleh melalui program-program ini boleh digunakan sebagai asas dalam pembangunan bakat meningkatkan dan sekali gus mampu menyumbang kepada penyelidikan dan pembangunan (R&D) negara terutamanya bagi penghasilan inovasi berasaskan teknologi terkini demi mencapai hasrat Malaysia sebuah negara berteknologi tinggi menjelang tahun 2030,” jelas beliau.
Tambah Lih Kang, Malaysia Techlympics menekankan aspek
keterangkuman dan inklusif dengan menitikberatkan akses terhadap keperluan asas dan pendidikan yang berkualiti menerusi Program Jangkauan Keterangkuman.
Menurut beliau, ia bagi meningkatkan akses kepada Pengajaran dan Pembelajaran (PdP) Sains, Matematik, Kejuruteraan dan Teknologi (STEM) khususnya kepada pelajar luar bandar, guru dan komuniti setempat.
Dalam masa sama, beliau memaklumkan Malaysia Techlympics memperkenalkan Modul MT-X² iaitu sebuah program khas untuk belia dan pelajar institusi pengajian tinggi (IPT) bermula 23 September lalu.
Katanya, program berkenaan bertujuan untuk mempromosikan serta menggalakkan cetusan idea berkaitan STI melalui dua format utama: reka bentuk poster dan persembahan video (pitching).
“Melalui Modul MT-X², peserta diminta menghasilkan infografik menarik dan video pitching yang membentangkan idea secara visual serta menjelaskan konsep, aplikasi, dan manfaat dengan cara persuasif.
“Pendekatan ini bukan sahaja memperkemas kemahiran penyampaian dan kreativiti peserta, tetapi juga memupuk semangat inovasi dalam kalangan belia dan pelajar IPT,” katanya. – MalaysiaGazette