Home Ekonomi Singapura atasi China sebagai pelabur hartanah di AS

Singapura atasi China sebagai pelabur hartanah di AS

Singapura miliki banyak hartanah komersial di Amerika Syarikat berbanding China.

SINGAPURA – SINGAPURA telah mengatasi China sebagai pelabur terbesar Asia dalam sektor hartanah komersial di Amerika Syarikat.

Ia adalah kali pertama sejak 2012 Singapura melangkaui China, menurut data Real Capital Analytics dan Cushman & Wakefield.

Di peringkat global, Singapura merupakan pelabur ketiga terbesar dalam hartanah komersil Amerika Syarikat selepas Kanada dan Perancis.

Pada tahun 2017, syarikat-syarikat Singapura melabur sejumlah AS$9.5 bilion dalam hartanah Amerika Syarikat, naik daripada AS$ 3.3 bilion pada tahun sebelumnya.

Syarikat-syarikat China hanya melabur AS$ 5.9 bilion, penurunan mendadak daripada AS$ 17.3 bilion pada 2016.

Penurunan sebanyak 66 peratus daripada pelabur-pelabur China itu selepas pengawal selia negara berkenaan menurunkan had aliran keluar modal.

Dana kekayaan negara GIC menyumbang hampir tiga perempat daripada tawaran Singapura, termasuk pelaburan sejumlah AS$988 juta di 60 Wall Street di Manhattan, yang menempatkan ibu pejabat Deutsche Bank dan pelaburan AS$1.1 bilion dalam portfolio penginapan pelajar.

Selain GIC, pembeli hartanah Amerika Syarikat yang lain termasuk pemaju, amanah pelaburan hartanah dan syarikat logistik.

Pelaburan Singapura dalam hartanah komersial di peringkat global naik sebanyak 40 peratus kepada AS$28.4 bilion pada tahun lalu, mengarasi rekod pada tahun 2015. – MalaysiaGazette