Dr Mohd Khairuddin Aman Razali
Dr Mohd Khairuddin Aman Razali

KUALA LUMPUR – Sangat menarik untuk difahami gesaan Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang agar ahli parti itu memberikan sokongan kepada MCA pada Pilihan Raya Kecil (PRK) DUN (Dewan Undangan Negeri) Balakong.

Gesaan itu sudah tentu mendapat maklum balas negatif daripada penyokong Pakatan Harapan (PH) yang mula mencium bala bakal menimpa politik parti itu sekiranya Pas mampu bekerjasama dengan MCA dalam PRK atau Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang.

Malah, menurut Ahli Parlimen Kuala Nerus dari Pas, Datuk Dr Mohd Khairuddin Aman Razali, tindakan seorang Ahli Parlimen DAP di Dewan Rakyat minggu lalu menjerit-jerit tanpa menggunakan pembesar suara “Kenapa Pas sokong MCA yang tolak Hudud” menggambarkan mereka tidak memahami prinsip Pas apabila bersama dan menyokong DAP dalam Pakatan Rakyat (PR) suatu ketika dahulu.

“Saya sendiri berucap menjelaskan kewajipan mengundi calon DAP dalam satu program besar Pas di Kuala Selangor sebelum PRU13 dengan hujah dan dalil syarie sebagaimana sekarang saya berhujah untuk jangan mengundi DAP juga dengan hujah dan dalil syarie.

“Jawapannya adalah ia semata-mata kerana prinsip dan dasar yang mewajarkan Pas sama ada menyokong atau tidak menyokong DAP atau MCA atau PKR atau mana-mana parti politik dalam konteks pilihanraya sebagai satu strategi,” katanya dalam kenyataan kepada media di sini, hari ini.

Beliau mengulas keputusan Pas bekerjasama dengan UMNO di DUN Seri Setia dan menyokong MCA pada PRK DUN Balakong yang diadakan serentak pada 8 September ini.

Jelas Dr Mohd Khairuddin, DAP tentunya tidak bersetuju dengan dasar dan prinsip Pas yang memperjuangkan menegak undang-undang jenayah Islam atau hudud.

Ini katanya, berbeza ketika mereka bersama dalam PR dahulu, yang mana DAP menerima Pas telah mengkanunkannya sebagai undang-undang di Terengganu dan Kelantan.

“(Tetapi) Pas dan DAP saling bersetuju itu antara perkara yang tidak dipersetujukan bersama. Ini adalah prinsip penting dalam membina kebersamaan.

“Atas dasar persetujuan itulah Pas bersama dengan DAP, dan oleh kerana mereka melanggar persetujuan itu juga, maka Pas tidak lagi bersama DAP,” katanya.

Ujarnya, dalam konteks PRK Balakong, penilaian Pas ialah menyokong DAP yang telah menjadi kerajaan dengan pelbagai desakan mereka yang mengancam Islam dan Melayu lebih mudarat berbanding menyokong MCA yang berstatus pembangkang, meskipun dasar dan perjuangan parti komponen BN itu mungkin tidak berbeza banyak dengan DAP.

“Dalam PRK Sungai Kandis baru-baru ini, Pas memberikan sokongan kepada calon UMNO atas dasar kepentingan bersama menolak ancaman PH sebagai sebuah kerajaan meskipun Pas dan UMNO mempunyai dasar dan prinsip berbeza dalam beberapa perkara.

“Justeru, kali ini hasilan daripada itu, Pas pula mendapat dokongan UMNO untuk PRK Seri Setia. Inilah prinsip umum yang melatari pendirian Pas dalam bekerjasama atau tidak dan menyokong atau tidak menyokong mana-mana pihak.

“Prinsip ini tentunya gagal dihayati oleh parti dan orang politik yang tidak berprinsip,” katanya. – MalaysiaGazette